fbpx

Lelaki amang seksual anak saudara dijel 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH berusia 28 tahun yang masih bujang dipenjara 10 tahun selepas mengaku melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Perbuatan terkutuk seorang lelaki melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara sendiri berbalas selepas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh yang berusia 28 tahun sejurus lelaki itu membuat pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kedua-dua kertas pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya berusia 11 tahun.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.26 tengah hari dan 2 petang di sebuah rumah di Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah pada 9 April 2023.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan dan diberikan dalam bentuk pemenjaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim bagaimanapun memohon hukuman setimpal dan sebatan dikenakan dengan mengambil kira mangsa merupakan seorang kanak-kanak.

Beliau turut memohon agar syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh perlu menjalani kaunseling pemulihan dan diletakkan di bawah pengawasan polis tidak kurang setahun selepas dibebaskan.

Setelah mendengar hujah kedua-kedua belah pihak, Mohd. Sabri kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan. Beliau bagaimanapun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 10 April 2023.

Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI