REZEKI Izzue Islam dalam bidang nyanyian semakin memudar, namun meraih ribuan peluang menerusi cabang seni lain iaitu pengacaraan dan lakonan. Selain itu, tuah sekali lagi mendakapnya apabila dipilih menjadi hos Muzik-Muzik 38.
Barangkali juga ramai yang sudah terlupa Izzue Islam memulakan kerjaya seninya dengan portfolio seorang penyanyi.
Bukan secara solo tetapi bersama kumpulan yang pernah meledak suatu ketika dahulu iaitu Forteen yang turut dianggotai oleh tiga jejaka, termasuk Ariz, Ameer dan One.
Tiada jodoh untuk kekal bersama, Izzue mengambil keputusan mengundurkan diri sebelum bergerak aktif sebagai pelakon dan pengacara.
Kini, kerjaya nyanyiannya semakin memudar dan kian dilupakan. Bukan hanya di mata khalayak, bahkan empunya badan turut mengakui hal sama.

– AFIQ RAZALI
Nyanyian
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan 2020, memang tiada undangan persembahan diterima selama setahun kemudian selepas industri kembali rancak, saya sibuk pula dengan lakonan dan pengacaraan.
“Mungkin orang sudah lupa saya sebenarnya seorang penyanyi,” kata pemilik nama penuh Muhammad Izzul Islam Mazlan berkenaan kepada HibGlam baru-baru ini.
Aktor berusia 32 tahun itu berpendapat kerjaya lakonan dan pengacaraan yang dilakukannya kini semakin menyerlah sehingga menghilangkan ingatan ramai tentang kebolehannya di pentas nyanyian.
Namun, dia kekal optimis dan percaya dengan ketentuan rezeki anugerah Tuhan.
“Mungkin sebab mereka nampak saya banyak berlakon dan menjadi pengacara ketika ini.
“Saya tidaklah sedih sebab semua itu beri peluang dan membolehkan saya bahagi masa dengan lebih teratur,” ujarnya yang popular menerusi drama Patahnya Sebelah Sayap.
Jelasnya, perkara itu mula disedari pada tahun ini selepas melihat jadual kerjanya yang tidak terselit walau satu jemputan nyanyian.
“Tahun ini, bila berborak dengan isteri selepas lihat jadual, baru perasan sudah lama tiada undangan nyanyian.
“Pada saya syukur juga sebab memang nak fokus pada pengacaraan kerana nak belajar lebih banyak mengenainya. Memang menjadilah fokus itu sekarang ini.
“Alhamdulilah untuk lakonan masih lagi okey dan rancak,” tuturnya.

Muzik-Muzik
Kini, kerjaya pengacaraan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu melangkah setapak apabila diberi kepercayaan untuk bergelar hos program muzik terkenal, Muzik-Muzik 38.
Tidak digandingkan dengan mana-mana selebriti seperti hos terdahulu, sekali gus menjadi pengacara tunggal, Muzik-Muzik 38 ternyata satu cabaran buat dirinya.
“Sebelum ini selalu jadi tetamu atau hos jemputan dan langsung tak pernah terfikir akan menggalas tanggungjawab ini.
“Peluang ini boleh dikatakan rezeki terpijak yang saya tak mampu nak tolak. Kepercayaan sudah diberi, jadi saya akan berusaha lunaskannya dengan baik,” jelasnya.
Meskipun bukan baru dalam bidang pengacaraan, Izzue mengakui perasaan takut masih membelenggu dirinya setiap kali diberikan tugas untuk menjadi seorang hos bagi sesebuah program ternama seperti Muzik-Muzik.
Takut itu merangkumi kerisauannya jika melakukan sebarang kesalahan kecil yang boleh mengundang kata-kata negatif ramai.
“Takut dan gemuruh itu memang ada, risau apa yang dirancang tidak menjadi, salah bual atau dibanding-bandingkan.
“Kalau lihat saya tiba-tiba terlebih lincah atas pentas atau ketika menjadi hos, maksudnya sedang gemuruh. Itu cara saya nak lawan perasaan tersebut,” jelasnya lagi.
Kerap muncul dalam program terbitan media prima, Izzue menyangkal dakwaan dia merupakan anak emas stesen televisyen tersebut.
“Setakat ini saya masih dipanggil stesen lain bukan hanya TV3 .
“Jadi, tiada istilah anak emas atau terikat dengan mana-mana stesen pun,” ujarnya menggemari cara Haziq Husni mengacara Muzik-Muzik sebelum ini.

















