fbpx

Helah sorok diesel dalam tangki bawah tanah terbongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMALLUDIN (kanan) menunjukkan tangki bawah tanah yang digunakan untuk menyimpan diesel bersubsidi dalam serbuan di kampung Kepayang, Simpang Pulai hari ini.

IPOH – Helah licik sindiket penyeludupan diesel bersubsidi yang berselindung di sebalik kawasan kolam ikan, terbongkar dengan penemuan dua tangki simpanan minyak bawah tanah semalam.

Serbuan pada pukul 11 malam di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini yang dijadikan sebagai pusat pengumpulan minyak diesel itu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan selepas risikan dijalankan selama dua minggu ke atas aktiviti pembelian minyak diesel di stesen minyak sekitar Simpang Pulai menggunakan lori.

Katanya, lori yang digunakan oleh sindiket berkenaan telah diubah suai dengan meletakkan tangki lain selain tangki asal.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat sebanyak 32,000 liter cecair disyaki diesel bernilai RM76,160 ditemukan di dalam dua tangki bawah tanah dan tangki tambahan di premis tersebut dan dua lelaki tempatan berusia 49 dan 47 tahun disyaki pemilik premis ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan sama pihaknya merampas lima unit pam penyedut minyak dan dua buah lori yang digunakan untuk membeli dan mengedar bahan bakar berkenaan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM321,170.

“Siasatan mendapati premis yang beroperasi sejak tiga bulan lalu itu tidak mempunyai sebarang lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada KPDN dan minyak yang diseleweng ini akan dijual kepada syarikat industri di Pulau Pinang dan mampu meraih keuntungan sehingga RM45,000 sebulan,” katanya.

Tambah beliau, serbuan di premis itu merekodkan jumlah sitaan diesel dan nilai rampasan terbesar di Perak sejak Op Tiris dilancarkan Mac lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI