fbpx

Andai kita ‘raya terkejut’ sekali lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sebaik sahaja tular satu foto dari sebuah masjid baru-baru ini yang ‘mendakwa’ Ramadan berakhir pada 20 April, satu Malaysia jadi serba tidak keruan. Masing-masing mula terkenang kekalutan raya tahun lalu.

Di minda, terbayang suasana panik malam raya kala tercari-cari kedai menjual ayam di malam buta dan kelam kabut pulang ke kampung.

Ada juga ibu ayah yang sedu sedan di kampung bila anak-anak yang sudah lama tidak ke pangkuan sejak Covid-19 melanda tidak sempat sampai di pagi Syawal walaupun sudah mendapat cuti raya.

Hanya dengan sekeping foto, spekulasi pun bertebaran dan pihak masjid tampil memberi penjelasan. Menerusi Facebook, Masjid Wilayah Persekutuan menjelaskan:

“Tular satu tangkap layar berhubung gambar counting (kiraan) tarikh ‘Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023’ di Paparan TV Iklan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sukacita dimaklumkan bahawa tarikh tersebut adalah bagi memberi kesedaran kepada jemaah untuk mengejar 10 malam terakhir di bulan Ramadan. Pihak Masjid tidak bertanggungjawab menentukan tarikh sebenar 1 Syawal kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja Raja,” jelasnya.

Daripada penjelasan tersebut, apa yang dapat penulis fahami, tarikh yang dimaksudkan pihak masjid itu mungkin malam paling akhir peluang bertarawih dan merebut lailatulqadar untuk bulan Ramadan tahun ini kerana pada malam 21 April sudah malam takbir jika benar raya jatuh pada Sabtu, 22 April seperti atas kalendar.

Tetapi apapun, mana-mana kemungkinan itu tetap ada. Bagi penulis, di minda kita perlu tanamkan hari raya memang tiada ketetapan tarikhnya kerana pada asasnya itulah ciri-ciri hari kebesaran itu yang bergantung kepada penampakan anak bulan. Nampak anak bulan, esoknya kita raya; tidak nampak anak bulan atau tidak cukup syaratnya, lusanya kita raya.

Kita seharusnya tahu, Takwim Islam berdasarkan pergerakan bulan mengelilingi Bumi yang menghasilkan 354 atau 355 hari, bukan seperti kalendar Gregori yang berdasarkan pergerakan Bumi mengelilingi matahari menghasilkan 365 atau 366 hari.  Perlu juga diingat, setiap bulan Islam mengandungi 29 atau 30 hari tanpa sebarang ketetapan atau turutan.

Kalendar secara pergerakan bulan (qamari atau lunar) bukan sahaja digunakan oleh masyarakat Islam, tetapi sistem ini turut digunakan masyarakat-masyarakat lain di dunia seperti Yunani, Aztec, China dan lain-lain, namun hanya kalendar Islam dikatakan satu-satunya di dunia yang masih berpandukan kepada peredaran jasad bulan secara real time (pencerapan). Bagi penulis, sebabnya mudah. Ini kerana kita perlu sentiasa melakukan semakan memandangkan ketepatan sistem dan waktu penting bagi memastikan kesempurnaan amal ibadat terutamanya puasa dan haji sedangkan masyarakat lain tidak.

Sekalipun teknologi hari ini membolehkan hisab (penghitungan) awal bulan termasuk Ramadan dan Syawal, hakikatnya sandaran utama tetap kepada melihat (rukyah) anak bulan pada setiap 29 hari bulan. Faktor-faktor seperti cuaca dan kondisi litupan awan turut mempengaruhi kemungkinan penampakan atau sebaliknya.

Ia bersesuaian anjuran hadis Rasulullah SAW: “Berpuasalah kamu kerana melihat hilal (anak bulan) dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bulan tersebut 30 hari.”

Hadis yang lain Rasulullah bersabda: “Bulan itu, begini, begini dan begini yakni 30 hari. Kemudian baginda bersabda, dan begini, begini dan begini, yakni 29 hari. Baginda SAW menyebut sekali 30 hari dan sekali lagi 29 hari.”

Perbezaan tarikh hari raya di negara-negara di dunia juga tidak perlu dijadikan isu kerana perbezaan matlak (kawasan terbit dan tenggelam bulan dan matahari) dari lokasi masing-masing.

Adalah tidak mustahil negara-negara yang lebih lewat waktu solatnya seperti Arab Saudi berpuasa atau berhari raya lebih awal kerana ketika kita tidak dapat melihat anak bulan sewaktu maghrib di tempat kita, mereka yang lebih lewat waktunya kira-kira lima jam mungkin telah dapat melihat anak bulan apabila anak bulan sudah berada di kedudukan lebih tinggi. Ingat, Islam meletakkan adil bukan bermaksud sama, tetapi betul pada tempatnya.

Justeru, jika kita benar-benar memahami hal ini, tidak timbul sebenarnya istilah ‘raya terkejut’.

Namun, seandainya tahun ini kita raya mengejut sekali lagi, mungkin keadaan sudah tidak sepanik tahun lalu kerana ia bukan lagi suatu yang kita langsung tidak terduga sebaliknya pengalaman lalu seharusnya menjadikan kita lebih dewasa dan bersiaga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI