fbpx

Mahkamah: Permohonan kembali saman terhadap Hadi Awang dibatal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan permohonan dua penganut Kristian dari Sabah untuk mengembalikan saman terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap penganut agama itu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah selepas mendapati permohonan untuk mengembalikan semua saman itu dibuat tanpa mengikut aturan.

“Ini adalah keputusan kami dan keputusan kami adalah sebulat suara. Kami dapati “Lampiran Satu” tidak disokong oleh afidavit yang wajar dan mengikut aturan kerana ia tidak ditandatangani oleh Pesuruhjaya Sumpah.

“Oleh itu, tiada permohonan yang kompeten di hadapan kami. Oleh itu, Lampiran Satu dibatalkan dan kami tidak membuat sebarang perintah berhubung kos,” kata Hakim Mohamad Zabidin ketika membaca penghakiman ringkas panel secara dalam talian hari ini.

Dua lagi hakim yang turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Harminder Singh Dhaliwal.

Bagaimanapun panel terbabit tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Dalam prosiding hari ini peguam, R. Kengadharan mewakili Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian selaku plaintif sementara Hadi diwakili peguam, Yusfarizal Yussof.

Terdahulu semasa prosiding, Kengadharan mengakui bahawa notis permohonan plaintif tidak lengkap kerana tidak mempunyai cop pesuruhjaya sumpah dan memohon diberikan masa kerana pihaknya tidak dapat menghubungi plaintif untuk membetulkan keadaan tersebut.

Permohonan tersebut bagaimanapun dibantah oleh Yusfarizal atas alasan, pihak peguam plaintif mempunyai masa untuk berbuat demikian sejak Oktober 2022.

Pada 9 Disember 2020, Maklin dan Lawrence selaku plaintif memfailkan saman itu atas dakwaan Hadi telah mengeluarkan satu penyataan menghasut berhubung penganut atau mubaligh Kristian.

Mereka mendakwa Abdul Hadi telah membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap penganut Kristian dan mubaligh Kristian yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada 18 Januari 2016.

Kemudian pada 7 Mei 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman tersebut dengan kos punitif berjumlah RM100,000 selepas mendapati tindakan tersebut adalah remeh dan satu penyalah gunaan proses mahkamah.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan di sini pada 16 Ogos 2022, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu atas alasan saman tersebut tidak boleh dipertahankan dan seharusnya dibatalkan.

Kedua-dua plaintif melalui saman pemula itu antara lain memohon pengisytiharan bahawa Abdul Hadi telah melakukan tindakan hasutan yang bertentangan dengan Seksyen 3 Akta Hasutan 1948 dan pengisytiharan bahawa defendan tidak layak memegang sebarang jawatan dalam Kerajaaan Malaysia termasuk suatu jawatan yang setara dengan jawatan menteri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI