fbpx

Isteri tak larat ke dapur, Yonnyboii urus sahur sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MELALUI pengalaman pertama hamil, Yonnyboii memaklumkan isterinya berdepan alahan teruk setiap hari.

PETALING JAYA – Penyanyi Yonnyboii tidak kisah apabila terpaksa menguruskan makan minum sendiri terutama ketika bersahur kerana enggan menyusahkan isteri kesayangannya, Nik Nazira Narriman yang sedang hamil enam bulan.

Ujar Yonny atau nama lengkapnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, sambutan Ramadan pada kali ini sedikit berbeza berbanding tahun lalu kerana dia perlu berdikari terutama ketika waktu bersahur.

“Biasanya isteri yang akan sediakan sahur. Tapi tahun ini saya kena berdikari sendiri. Nasib baik perkhidmatan penghantaran makanan ada sehingga awal pagi.

“Sebabnya isteri, Nazira yang kini sedang hamil enam bulan sudah tidak larat memasak di dapur. Saya pun tidak memaksanya untuk memasak. Jadi tidak mengapa bila saya kena urus sendiri makan minum sepanjang Ramadan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Kata pelantun lagu Sengkek itu, sejak disahkan hamil, isterinya kerap mengalami alahan (morning sickness) yang teruk pada setiap hari sehingga mengalami penurunan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg).

“Isteri kena alahan teruk sehingga berat badannya turun sebanyak 10kg. Dari pagi sampai ke malam. Antara gejala yang dia alami tidak boleh tidur dan anxiety.

“Dia juga selalu mengadu rasa kejang dan sakit. Lebih sakit daripada kekejangan akibat datang bulan katanya. Mungkin sebab pengalaman hamil kali pertama, jadi isteri belum biasa lagi,” ujar Yonny.

Ketika disoal perasaannya untuk bergelar seorang bapa dalam masa tiga bulan lagi, Yonny mengakui berasa sangat teruja lebih-lebih lagi selepas impiannya untuk menimang cahaya mata pada usia 25 tahun dimakbulkan Allah SWT.

“Saya memang teruja sangat nak sambut kelahiran bayi sulung ini nanti. Bergelar bapa pada usia 25 tahun memang antara impian saya.

“Alhamdulillah ini rezeki dan hadiah daripada Tuhan,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran Universal Music Malaysia, baru-baru ini.

Bercerita tentang nama anak yang bakal diberikan, Yonny memberitahu dia dan juga isterinya sudah pun mengetahui jantina bayi yang bakal dilahirkan.

Namun mereka memilih untuk merahsiakan perkara tersebut daripada peminat.

“Jantina anak kami sudah tahu. Cuma biarlah menjadi rahsia sehingga isteri saya selamat bersalin nanti.

“Untuk nama pula, saya dan isteri sudah sediakan senarai yang diinginkan, cuma belum buat keputusan untuk pilih nama sesuai.

“Nama yang bakal diberikan kepada anak kami nanti merupakan gabungan antara nama saya dan isteri,” katanya.

Terdahulu, Yonny pertama kali mendedahkan isterinya hamil pada 12 Mac lalu menerusi hantaran Instagram.

Yonny mendirikan rumah tangga pada 20 November 2021 lalu dengan Nazira secara rahsia, namun hanya mendedahkannya kepada umum enam hari selepas itu.

Pasangan muda itu berkahwin dalam sebuah majlis pernikahan sederhana yang hanya dihadiri seramai 20 orang ahli keluarga terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI