MODEL sedan yang suatu ketika dahulu popular dalam barisan produk automotif jenama dari Jerman, Mercedes Benz, kini hadir dengan rekaan lebih menarik.
Menerapkan teknologi lebih moden, peminat jenama itu pasti berpuas hati dengan ciri-ciri yang ditawarkan untuk sebuah kereta mewah dan berprestij.
Pada bulan Ogos tahun lalu, Mercedes Benz Malaysia telah melancarkan dua varian pemasangan tempatan daripada model C Class.
Dua varian itu terdiri daripada varian C200 Avantgarde Line dan C300 AMG Line.
Varian C200 Avantgarde Line menggunakan enjin 1.5 liter, manakala C300 AMG Line menggunakan enjin 2.0 liter.
Model C Class ini pada mulanya diperkenalkan dengan kod W201 dan sejak itu, lebih 10.5 juta model telah dihantar ke seluruh dunia.
Penulis difahamkan, antara faktor model ini menjadi popular dan diminati adalah kerana kenderaan ini ditakrifkan mengikut piawaian keselesaan serta inovasi dalam segmen sedan sederhana yang premium.
C-Class baharu ini direka dengan mengambil kira aspek pembangunan sebuah kereta gabungan antara manusia dan inovasi berteraskan reka bentuk sporty serta moden.
Hasilnya lahirlah sebuah kereta dengan reka bentuk yang memenuhi aspek kemewahan dan teknologi. Ia selaras dengan masa depan digital dan mampan yang dilengkapi pelbagai inovasi sekali gus mampu menjadi penanda aras segmennya.

Baru-baru ini penulis telah diberi peluang untuk memandu uji varian C300 AMG Line selama beberapa hari.
Penulis melihat takrifan semula hasil rekaan dan kualiti dapat disaksikan pada beberapa aspek keselesaannya seperti keluasan di bahagian belakang. Walaupun dipasang di kilang di Pekan, Pahang, mutu kerja tetap terbaik dan berkualiti tinggi.
Rekaan luaran dengan aksesori AMG Line menampakkan model ini lebih sporty berbanding varian satu lagi. Karakter sporty dan premium lebih jelas kelihatan kerana varian ini menggunakan rim AMG bersaiz 19 inci.
Antara ciri yang menarik pada bahagian luarannya ialah lampu utama LED prestasi tinggi dengan bantuan lampu tinggi.

Pada bahagian belakang pula, reka bentuk lampunya membuatkan penulis terpesona dengan penampilannya yang tampak malar segar. Ini juga buat pertama kali lampu belakang C-Class didatangkan secara dua kepingan.
Masuk ke ruang kabin, C- Class baharu ini dilihat membawa kepimpinan inovasi bagi sedan segmen sporty.
Dengan ciri-ciri bantuan pemandu generasi akan datang, ia mampu ‘menjaga’ pemandu dan penumpangnya secara lebih baik dari sebelum ini.
Papan pemuka dan paparan tengahnya dicondongkan sedikit ke arah pemandu sebanyak enam darjah.
Sistem infotainment juga hadir dengan skrin bersaiz 11.9 inci. Bagi saya, skrin ini paling menyerlah untuk bahagian dalaman. Ia juga hadir bersama MBUX (Mercedes-Benz User Experience) sebagai ciri standard dengan fungsi navigasi premium MBUX.
Paparan meter kluster pula dalam bentuk instrumen LCD resolusi tinggi bersaiz 12.3 inci jenis terapung di depan stereng. Ciri menarik lain adalah pengimbas cap jari, pengecasan telefon pintar tanpa wayar, lampu ambien premium dan sambungan telefon pintar.
Model C300 AMG Line ini menggunakan enjin 2.0 liter dan transmisi sembilan kelajuan automatik. Kombinasi ini mampu hasilkan kuasa maksimum 258hp dan tork tertinggi 400Nm pada 2,000 hingga 3,200rpm.
Kereta ini mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 6 saat. Di atas kertas, kelajuan maksimumnya mampu mencapai 250km/j.














