fbpx

Di Ujung Hari Siti, Ungu, penyatuan seni, rasa Nusantara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NURHALIZA dan Unggu memberikan satu lagi definisi kebersamaan yang mahal nilainya.

DARI satu sudut, lagu baharu yang menyaksikan gabungan dua nama besar dari dua negara iaitu Ungu dan Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Di Ujung Hari memberi makna penginsafan amat besar.

Dari satu dimensi yang lain juga, karya ciptaan komposer bernama Oncy tersebut juga memberi satu pengertian begitu signifikan bahawa air yang dicincang tidak akan pernah putus.

Malaysia dan Indonesia adalah dua negara yang bersaudara sangat dekat dengan satu perihal yang tidak mampu dinafikan, Siti Nurhaliza masih satu jenama yang menjadi jambatan ‘aman’ antara dua bumi Nusantara itu.

Nukilan lirik lagu Di Ujung Hari bernuansa puitis, namun pada masa sama, mudah difahami setiap pendengar.

‘Tak sadarkah kita, di bawah langit yang sama, meraba tak berdaya, harusnya saling menjaga’. Itu antara tulisan lirik indah dalam lagu yang membuatkan penulis secara peribadi agak tersentak.

Tersentak kerana ketika semua orang berfikiran mahu maju ke hadapan, penghujungnya nanti, ikatan atau hubungan persaudaraan menjadi antara perkara yang penting untuk dikerjakan bersama.

BUKAN sahaja di negara sendiri, Siti dan Ungu masing-masing masih mempunyai pengaruh kuat di hati peminat Indonesia dan Malaysia.

Muzik mahal

Sebenarnya, tak pasti sama ada Di Ujung Hari merupakan kolaborasi perdana Ungu dan Siti, namun satu yang pasti, permainan muziknya berliga ‘mahal’.

Mahalnya muzik mereka sehingga membuatkan diri merinding dan ternyata, usia bukan penghalang.

Ungu dan Siti barangkali sudah lama berada dalam industri muzik, namun mereka masih ‘nyaman’ menyapa peminat.

Ungu masih diingati di Malaysia dan begitu juga Siti yang terus menjadi antara penyanyi negara ini yang masih disayangi di negara seberang, Indonesia.

Menyentuh soal komposisi melodi, Di Ujung Hari memberikan ‘vibe’ yang semacam. Suatu rasa yang membuatkan diri bersemangat untuk menjunjung nilai kebersamaan hari yang lebih baik berbanding semalam.

Listrik vokal Pasha (Ungu) dan Siti memberikan sinergi yang jarang-jarang dicernakan penyanyi zaman sekarang.

BUKAN sahaja di Malaysia, Siti juga puspita hati peminat muzik di Indonesia.

Signatur vokal, muafakat

Bayangkan, saat diputarkan di corong radio mahupun dalam Spotify, tak perlu meneka lama siapa gerangan penyanyi yang melontarkan vokal. Itu kualiti yang diterjemahkan Pasha dan Siti sebagai vokalis lagu Di Ujung Hari.

Buat penulis secara peribadi, rasa bangga yang terungkap dalam diri sekiranya hadir atau muncul kolaborasi dari industri seni muzik antara penyanyi Indonesia dan Malaysia.

Hal ini kerana, dua negara ini selalu sahaja ‘berantakan’ dalam pelbagai perihal, namun pada hujungnya, tetap sayang dan prihatin antara satu sama lain.

Ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Itulah hubungan antara Malaysia dan Indonesia yang rumpunnya sentiasa menghijau bersama.

Terima kasih Ungu dan Siti kerana mengingatkan muzik adalah antara satu sebab bahawa betul kata peribahasa, ikan di laut, asam di darat, bertemu juga dalam belanga. Muzik antara ejen penyatuan berkesan dalam apa perkara sekalipun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI