UMAT Islam di Gaza, Palestin menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 10 April lalu iaitu yang bersamaan dengan hari Rabu.
Sambutan Hari Lebaran itu adalah sama dengan negara kita yang hanya berpuasa selama 29 hari tidak seperti tahun lalu.
Bagaimanapun, suasana sambutan Aidilfitri dalam kalangan penduduk yang beragama Islam di Semenanjung Gaza, Palestin tidak sama dengan Malaysia.
Ini adalah kerana serangan tentera Rejim Zionis untuk menghapuskan Hamas sejak 7 Oktober tahun lalu masih lagi belum berakhir sehingga Gaza tidak lagi mempunyai bandar yang cantik seperti dahulu akibat tindakan tidak ‘berhati perut’ negara haram tersebut.
Tanpa menghormati 1 Syawal, tentera Israel menyerang beberapa sasaran sehingga menyebabkan tiga anak pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dan cucunya terkorban dalam serangan Rejim Zionis di Gaza.
Penduduk di wilayah Palestin itu meraikan Aidilfitri dalam suasana yang menyedihkan tetapi mereka masih menyambutnya sebagai tanda kemenangan kerana berpuasa dalam bulan Ramadan.
Seorang penduduk Abir Sakik, 40, yang kini tinggal di dalam khemah di Rafah berkata kepada AFP: “Kami cuba memberi kegembiraan kepada kanak-kanak. Sebelum ini terdapat suasana yang hebat pada Aidilfitri apabila terdapat kanak-kanak bersama alat mainan, kek Aidilfitri, makanan dan coklat di setiap rumah. Namun, kini, mereka (Israel) memusnahkan semua yang ada di Gaza.”
Semalam, genap 200 hari tentera Israel menyerang Semenanjung Gaza kerana mahu membalas dendam kerana anggota-anggota Hamas melancarkan ratusan roket dan menyusup masuk selain berjaya menculik lebih 128 orang untuk dijadikan tebusan sebelum sebahagiannya dibebaskan.
Lebih 34,000 orang terkorban dan lebih 70,000 lagi cedera termasuk ibu dan kanak-kanak dalam serangan kejam itu setakat ini.
Rejim Zionis masih membedil Semenanjung Gaza walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyelar Tel Aviv dengan menyatakan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melakukan kesilapan dengan menyerang wilayah Palestin itu, baru-baru ini.
Bagaimanapun, kenyataan Biden itu tidak disusuli dengan tindakan yang berani daripada AS.
Apa yang dikesalkan ialah Washington bertindak memveto resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung permohonan Palestin untuk menjadi anggota penuh badan dunia itu.
Negara ‘uncle Sam’ itu bertindak sedemikian walaupun 12 buah negara menyokong dan dua berkecuali dalam resolusi tersebut.
Walaupun dikritik oleh sebahagian pemimpin dunia termasuk Russia dan negara kita, Rejim Zionis masih lagi mengganas di Semenanjung Gaza dan belum ada tanda-tanda ia akan berakhir.














