fbpx

2 juta warga Jakarta akan berpindah ke Nusantara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
.GAMBAR ilustrasi Istana Presiden di Nusantara, Kalimantan. - AFP

JAKARTA – Projek ibu negara baharu Indonesia, Nusantara pada masa ini menyaksikan hanya beberapa rangkaian jalan raya dan kerangka luar bangunan siap dibina di Kalimantan, lapor akhbar Daily Mail.

Bagaimanapun, negara kepulauan rantau Asia Tenggara yang mempunyai lebih 275 juta penduduk itu berharap Nusantara akan sedia menempatkan seramai 6,000 penduduk pertama menjelang Oktober tahun ini.

Perkembangan itu berlaku ketika ibu kota lama, Jakarta semakin tenggelam ke dalam laut.

Pada masa ini, 40 peratus kawasan di Jakarta berada di bawah paras laut yang menyaksikan kira-kira 10.6 juta orang di kota mega tersebut (dan 30 juta di kawasan sekitarnya) mungkin terpaksa berpindah.

Masalah itu juga memerlukan penyelesaian jangka panjang yang segera.

Berkaitan Nusantara pula, sebilangan aktivis dan suku kaum tempatan yang menetap di Kalimantan selama beberapa ge­nerasi telah memberi amaran bahawa projek mega itu sudah mula mengganggu alam semula jadi, memotong akses kepada air dan membahayakan nyawa.

Pembinaan Nusantara menelan kos AS$35 bilion (RM166.8 bilion) dan bermula hanya dalam tahun 2022, namun pemerintah berharap ibu kota berkenaan boleh dihuni dalam tempoh beberapa bulan dan siap sepenuh­nya ketika Indonesia menyambut kemerdekaan ke-100 pada 2045.

Seramai 1.9 juta orang dijangka berpindah ke Nusantara dari Jakarta, Pulau Jawa yang terletak kira-kira 2,011 kilometer dari Pulau Borneo berkenaan.

Terletak di pantai timur Pulau Borneo, pihak pemaju hanya mempunyai masa dua tahun untuk membersihkan tanah dan memulakan kerja pembinaan.

Pihak permaju berharap untuk mewujudkan sebuah bandar masa depan yang inovatif dan mesra alam.

Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah AS$1.32 trilion (RM6.29 trilion) pada tahun 2022, Indonesia pas­tinya mempunyai sumber kewangan kukuh untuk me­nyiapkan projek bercita-cita tinggi itu.

Pemerintah meminta supaya kumpulan pertama terdiri daripada 6,000 penjawat awam pertama berpindah ke Nusantara seawal Oktober 2024 untuk mewujudkan asas kukuh kema­sukan pelaburan swasta, demi­kian menurut Lembaga Permodalan Negara Nusantara.

Wakil-wakil rakyat berharap Nusantara akan dikuasakan secara eksklusif oleh tenaga hijau menjelang tahun ini dengan pembinaan sebuah loji solar berkapasiti 50 megawatt.

Mereka berkata, Nusantara akan mengamalkan konsep ‘bandar rimba’ dengan 75 peratus daripada kawasan metropolis berkenaan dibina di kawasan hijau.

Projek itu mendapat sokongan beberapa nama besar dengan Institut Tony Blair menandatangani memorandum persefahaman untuk membina pusat penyelidikannya di Nusantara pada tahun lepas, demikian menurut akhbar The Jakarta Post.

Sejak pelancaran projek itu, penyokong-penyokong pemuliharaan telah memberi amaran bahawa rancangan untuk membina sebuah bandar raya di dalam hutan Borneo berusia 140 juta tahun itu boleh memberikan kesan buruk kepada hidupan liar tempatan.

Populasi orang utan di Borneo merosot lebih 50 peratus sejak 60 tahun lalu, manakala habitat haiwan itu menyusut sebanyak 55 peratus dalam tempoh dua dekad, demikian menurut Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Profesor Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar di Universiti IPB, Hadi S. Alikodra Bogor berkata, cabaran utama ialah bagaimana untuk mendidik orang ramai mengenai isu tersebut.

Pegawai Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan, Wiranto pula memberi jaminan: “Kami akan secara intensif mendidik pekerja dan semua orang tentang pemuliharaan di bandar rimba ini.”

Pembinaan di kawasan seluas 256,000 hektar itu juga dikatakan mengancam spesies monyet belanda Indonesia yang tidak ditemui di tempat lain di dunia.

Selain Indonesia, tindakan serupa dilakukan oleh negara lain termasuk Malaysia yang memindahkan pentadbiran ke Putrajaya dari Kuala Lumpur, manakala Myanmar menukar ibu kotanya dari Yangon ke Naypyidaw dalam tahun 2006.

Brazil pula memindahkan ibu kotanya dari Rio de Janeiro ke Brasilia pada 1960 sementara Abuja menggantikan Lagos sebagai ibu negara Nigeria dalam tahun 1991. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI