fbpx

PAC 2024 tarik pelancong domestik, dari negara jiran ke Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di negeri Perak akan diketengahkan sepanjang karnival PAC 2024 di Resort Tasik Raban pada 17 Mei ini.

PETALING JAYA – Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) berkeyakinan terhadap program sulung anjurannya iaitu Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024) dapat menarik minat ramai pelancong domestik dan pemain dalam industri pelancongan berkunjung ke negeri itu.

Seiring program Tahun Melawat Perak tahun ini, karnival yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 17 Mei ini di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak itu bakal menjadi platform untuk pemain dalam industri hospitaliti di negeri ini mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing kepada pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Pe­rak SADC, Datuk Yahanis Yahya berkata, pelbagai tawaran menarik turut diatur buat pengunjung antaranya pameran agropelancongan yang menawarkan pakej potongan harga sehingga 40 peratus daripada agensi pelancongan, pusat rekreasi agro, pengusaha sukan lasak, hotel serta resort yang terkemuka.

Menurut beliau, ini termasuk pakej ‘Explore Nature Kampungku’ yang membawa pengunjung melawat ke 24 lokasi budaya dan bersejarah di tiga bandar utama Perak iaitu Kuala Kangsar, Lenggong dan Taiping pada harga istimewa.

 

Program lain adalah Suka- Suka Lake Retreat, Rumah Ayah An Rusa dan Kelulut, D’Bendang Chalet dan juga tawaran pakej sehari di Lembah Lenggong yang mana ia dapat memberi peluang kepada pengunjung mengembara ke tapak warisan dunia untuk menyaksikan keindahan stalaktit dan stalagmite serta menikmati makanan kampung.

“PAC 2024 yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu bertujuan untuk melonjakkan industri agropelancongan yang semakin popular dalam kalangan pelancong yang menghargai kehijauan,” katanya dalam ­ken­yataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Karnival yang turut mendapat kerjasama daripada Tourism Perak, Majlis Daerah Lenggong, Majlis Pelancongan Lenggong dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak itu dijangka dapat membantu mencatat jumlah pelancong sehingga lapan juta orang tahun ini.

Selain pelancong domestik, PAC 2024 juga dijangka bakal di­sertai oleh pelancong dari Singapura, Indonesia dan Thailand.

Tambah Yahanis, terdapat lebih daripada 50 tapak eko dan agropelancongan dan sebaha­giannya di Hulu Perak telah dibangunkan sendiri oleh Perak SADC.

“Kita telah bangunkan beberapa projek eko dan agropelancongan antaranya Taman Herba Gopeng, Gunung Masoorat, Denai Kabus Agro Farm dan Ulu Piah Eco Farm Resort.

“Kita mahu pengunjung didedahkan dengan bukan sahaja tarikan yang ada di Perak, bahkan juga pakej-pakej menarik yang ditawarkan pada harga istimewa,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI