DALAM fikirannya, dia belum cukup hebat untuk diangkat sebagai seorang pelakon biarpun sudah banyak meminjamkan aura dalam beberapa naskhah berskala Box Office sebelum ini.
Itu yang berulang-kali terbutir dari bibir si tinggi lampai, Elizabeth Tan tatkala mula bercerita tentang perjalanan seninya sebagai pelakon.
Sudah hampir sedekad memahat nama sebagai pelakon, sebetulnya masih terlalu banyak kerisauan yang menyelubungi diri pelakon yang bermula di pentas nyanyian itu.
Bahkan, sehingga hari ini dia masih membandingkan kualiti lakonan yang diberikan dengan aktor dan aktres gandingan.
Perkara itu masih dirasainya termasuk selepas membarisi filem pecah panggung, Sheriff: Narko Integriti.

Sebak
Elizabeth atau mudahnya disapa Lizzie itu tidak dapat menahan sebak saat membuka mulut berkongsi kerisauannya.
“Terlalu kecil dan kerdil saya lihat diri sendiri apabila berada sebaris dengan nama-nama besar dalam filem ini.
“Banyak kerisauan menyelubungi fikiran saya, termasuk komen netizen yang begitu mengganggu.
“Sebelum ini netizen pernah cakap lakonan saya nampak dibuat-buat, tak nampak semula jadi. Benda itu buat saya sedih dan beri impak kepada emosi setiap kali nak berlakon,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Ditanya mengapa hatinya terlalu rapuh setiap kali berkongsi perihal lakonan, wanita berusia 31 tahun itu berkata, semuanya begitu menikam jiwa kerana kemampuannya sebagai bintang filem pernah diperlekehkan.

“Saya terasa dan adakah orang anggap saya tak boleh berlakon?
“Sejujur bila saya tengok lakonan sendiri, rasa ‘cringe’ tetapi realitinya saya sudah banyak belajar untuk menjadi lebih baik setiap hari.
“Mungkin belum rezeki untuk benar-benar menyerlah,” katanya lagi.
Dedah pelantun lagu Knock Knock itu, tawaran lakonan yang diterima tidak ‘selebat’ seperti sangkaan ramai.
“Saya bermula dalam industri sebagai seorang penyanyi dan sedar masih belum cukup hebat seperti Ernie Zakri atau Aina Abdul.
“Sebenarnya saya tak dapat banyak tawaran berlakon pun, selalunya memang bersama Skop Production sahaja.
“Apa pun saya tetap bersyukur dengan semua rezeki diraih hari ini terutama dengan kehadiran suami dan keluarga yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan karier seni,” tuturnya.

Sheriff
Berkongsi pengalaman membintangi filem Sheriff arahan Syafiq Yusof, Lizzie sebenarnya harus ‘memaksa’ diri untuk menambah berat badan bagi mendapatkan bentuk ideal sebagai seorang anggota polis.
“Untuk filem ini, saya diminta menaikkan berat badan agar nampak sesuai dengan watak.
“Pelbagai usaha saya lakukan termasuk minum protein dan pergi ke gimnasium setiap hari. Hasilnya berat badan naik sebanyak lima kilogram (kg) iaitu dari 53kg ke 58kg.
“Namun tetap tak cukup seperti diminta iaitu 60kg, agak sedih tapi kalau berikan masa persediaan lebih lama, mungkin boleh capai,” kongsinya.
Normal sebagai pelakon, dia turut mengalami kecederaan ringan apabila kepala lututnya bengkak dan lebam sepanjang menjayakan filem terbitan Skop Production dan Astro Shaw tersebut.
Ujarnya, kecederaan tersebut berlaku semasa babak pertarungan di dalam sebuah gudang dadah yang memerlukan dia berlutut di hadapan pelakon, Syafiq Kyle selama sepuluh jam.
“Saya cedera bukan sebab babak aksi, sebaliknya adegan melutut di depan Syafiq.
“Kami mengambil masa sangat lama untuk siapkan babak tersebut kira-kira 10 jam sehingga menyebabkan lutut saya lebam.
“Babak tersebut mungkin nampak sekejap muncul di layar tetapi percayalah di sebalik tabir, makan masa sangat lama untuk disiapkan,” tuturnya mengakhiri perbualan.

















