fbpx

Syed Saddiq dihalang masuk UiTM, sesi dialog pada tarikh baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq ketika ditemui pemberita di luar UiTM Shah Alam malam tadi.

SHAH ALAM – Dialog antara Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dijadualkan berlangsung malam tadi gagal selepas dihalang memasuki UiTM.

Ia berikutan pihak pengurusan memberikan alasan bagi menjaga keharmonian universiti.

Terdahulu, Syed Saddiq hadir di universiti kira-kira pukul 9.30 malam selepas menunaikan solat terawih di Surau Al-Ansor, Seksyen 2, di sini.

Syed Saddiq berkata, beliau bagaimanapun telah dimaklumkan oleh pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM yang akan memberikan tarikh baharu bagi sesi dialog tersebut.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pihak MPP UiTM kerana turut bersama dan berkongsi pandangan pada malam ini.

“Mereka juga memberikan cadangan tarikh baharu untuk diskusi itu diadakan dengan menjemput beberapa panel lain,” katanya ketika ditemui di pintu utama UiTM Shah Alam, di sini, lewat malam tadi.

Menurutnya, beliau mahu mendengar sendiri suara pelajar universiti berkenaan selain membincangkan beberapa isu yang berkaitan dengan mereka menerusi dialog itu.

Namun, Syed Saddiq amat kesal apabila dialog dianjurkan pertubuhan Mahasiswa Demokratik tidak mampu dijalankan seperti dirancang sebelum ini.

“Saya telah bertanyakan mengapa tidak dibenarkan dengan polis bantuan UiTM namun dimaklumkan pihak pengurusan tertinggi UiTM tidak benarkan saya masuk atas alasan ‘untuk menjaga keharmonian universiti’.

“Tidak masuk akal alasan ini kerana saya pernah berdialog di beberapa universiti lain tanpa sebarang halangan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Muar itu bersama lebih 50 ahli Mahasiswa Demokratik kemudiannya telah beredar daripada pintu utama kira-kira pukul 10.45 malam.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati lebih 10 anggota pihak polis mengawal ketat pintu utama UiTM Shah Alam dan tidak membenarkan orang awam masuk ke dalam universiti itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI