fbpx

Peguam bela Sam Ke Ting dakwa pertuduhan cacat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ke Ting keluar dari Mahkamah Rayuan selepas perbicaraan rayuan akhir sabitan dan hukuman penjara serta denda melibatkan kes basikal lajak yang mengorbankan lapan remaja, enam tahun lalu.-Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA- Hukuman dibuat mahkamah sebelum ini terhadap kerani wanita, Sam Ke Ting dilihat berdasarkan pertuduhan cacat sekali gus membawa kepada sabitan tidak mengikut undang-undang.

Itu hujah pembelaan pasukan peguam Ke Ting yang dikemukakan di hadapan Mahkamah Rayuan di sini pagi tadi.

Peguam Ke Ting, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, berkata, pihaknya mendapati tiga definisi kesalahan berbeza dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya, kesalahan terbabit ialah memandu kenderaan secara melulu atau memandu kenderaan dengan laju atau memandu kenderaan dalam keadaan trafik berbahaya.

“Kami mendapati pendakwa raya menggabungkan kesalahan pemanduan melulu dan bahaya dan ia adalah salah.

“Sepatutnya, hanya satu daripada kesalahan itu mengikut undang-undang justeru, kami mahu supaya sabitan dan hukuman terhadap anak guam kami diketepikan,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap Ke Ting atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak.

Mahkamah mula bersidang sejak 9.30 pagi tadi dengan tiga panel hakim di pengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama dua hakim lain iaitu Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman pula berkata, pihaknya mahu memberi penekanan terhadap kesilapan dibuat Mahkamah Majistret yang pada masa itu membebaskan tertuduh.

“Mahkamah Rayuan boleh menilai semula bukti dan tengok balik sama ada betul atau tidak. Ada saksi yang mendakwa remaja itu duduk di tengah jalan juga adalah salah dan kita akan buktikan,” katanya.

Tengku Amir Zaki turut memaklumkan memerlukan dua jam untuk berhujah mengenai kes itu namun, masa begitu suntuk.

Panel hakim kemudian memutuskan prosiding rayuan disambung 11 April ini.

Ke Ting merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak di Jalan Lingkaran Dalam pukul 3.20 pagi pada 18 Februari 2017.

Pada 28 Oktober 2018, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan perayu tanpa memerintahkannya membela diri terhadap pertuduhan itu.

Lapan remaja yang maut dalam tragedi itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14, Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14, Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16, Fauzan Halmijan, 13,Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14, Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Kemudian pada 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Dr. Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Majistret serta mengarahkan Ke Ting  membela diri bagi pertuduhan memandu secara melulu.

Majistret Siti Hajar Ali yang mendengar kes itu pada 2019, sekali lagi melepas dan membebaskan Ke Ting pada akhir kes pembelaan, menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan kedua ke Mahkamah Tinggi.

Pada 13 April 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan kesalahan memandu secara melulu dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.

Bagaimanapun Ke Ting mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 18 April 2022 untuk merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara.

Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan Ke Ting untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan membebaskannya dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, sementara menunggu pendengaran rayuannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI