fbpx

Tiada Kerajaan Perpaduan di Johor – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ZAHID menyampaikan sumbangan duit raya kepada murid tahfiz sempena majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik, Sungai Balang, Muar, hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

MUAR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa penubuhan Kerajaan Perpaduan seperti di Melaka tidak semestinya berlaku di negeri lain, termasuk Johor.

Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan apa yang berlaku di Melaka tiada kena mengena dengan situasi di negeri lain.

“Jadi, suasana politik di negeri lain mungkin berbeza dengan apa yang berlaku di Melaka. Saya harap tiada sebarang spekulasi yang wujud sebab yang penting adalah kestabilan politik bukan sahaja di peringkat nasional, tetapi kita yakin kestabilan juga perlu diwujudkan di setiap negeri.

“Yang penting rakyat mengharapkan kestabilan ini akan membawa pelaburan dari luar, kestabilan juga membawa peluang-peluang ekonomi atas dasar kepercayaan untuk peniaga secara domestik atau luar negeri.

“Kestabilan juga akan memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap kepimpinan negeri itu sendiri dan saya yakin apa yang diharapakan Perdana Menteri adalah kestabilan politik bagi mencapai beberapa natijah yang saya nyatakan tadi,” katanya ketika ditanya adalah ‘gelombang’ politik Melaka yang menyaksikan pertukaran Ketua Menteri turut akan berlaku di Johor.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemui ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ditanya tentang Kerajaan Perpaduan Melaka, Ahmad Zahid berkata, negeri itu bukan sahaja mendapat Ketua Menteri yang baharu, malah barisan Exco Kerajaan Negeri akan distruktur semula dalam semangat perpaduan.

“Saya telah adakan perbincangan kerana majlis angkat sumpah akan diadakan pada petang esok, dan tentunya ia akan diikuti dengan penstrukturan semula barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka.

“Bagaimanapun saya masih belum memperoleh senarai nama cadangan daripada Ketua Menteri Melaka yang baharu. Namun saya yakin semangat kerajaan Perpaduan yang wujud di peringkat nasional dapat diterjemahkan di Melaka,” katanya.

Beliau yakin pendekatan kerajaan perpaduan dapat disebarluaskan pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak, seterusnya diterima di peringkat negeri-negeri tersebut.

“Tentunya kita mengharapkan di dalam enam PRN negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah dan Kelantan kelak, perkara yang sama akan berlaku. Oleh itu, kita mesti membiarkan optik dan naratif yang baik bagi menyebarluaskan situasi pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat negeri-negeri,” katanya.

Semalam Ahmad Zahid mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka dan istiadat mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri yang baharu akan diadakan pukul 3 petang esok di Kompleks Seri Negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI