fbpx

Ambulans terbabas rempuh tiang elektrik lepas hantar pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan ambulans yang terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Kilometer 15.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Musang, hari ini. FOTO IHSAN POLIS

GUA MUSANG – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) parah selepas ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) yang dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Kilometer 15.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, mangsa, Anuar Shamsudin, 39, cedera parah pada bahagian kepala manakala dua penumpang iaitu doktor Hospital Gua Musang, Dr. Al-Farouq Azmi Nazmi, 28 dan jururawat, Nur Hafini Hanis Hasbullah, 36, cedera di beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, ambulans terbabit sedang dalam perjalanan pulang dari Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai ke Hospital Gua Musang selepas menghantar pesakit.

Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, ambulans itu dipercayai mengelak ke kiri jalan selepas sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton memasuki laluannya ketika mengambil selekoh.

“Keadaan itu menyebabkan tayar ambulans berkenaan jatuh ke bahu jalan. Mangsa tidak dapat mengawal kenderaan sebelum terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri dan melanggar tiang elektrik.

“Mangsa dan seorang doktor tersepit di dalam ambulans itu. Kedua-dua mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FOTO IHSAN POLIS

Menurut Choon Foo, ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk rawatan lanjut.

Katanya, polis sedang mengesan pemandu trak pikap Mitsubishi Triton yang terbabit dalam kejadian itu untuk membantu siasatan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI