fbpx

Mahkamah: Zuraida sukarela tandatangan bon RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, bekas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menandatangani bon dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara sukarela sebagai memenuhi syarat perjanjian bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bekas Naib Presiden parti itu bukan sahaja mempunyai pengetahuan penuh berhubung syarat tersebut malah tidak pernah mengemukakan sebarang bantahan terhadap perkara itu.

Menurut beliau, Zuraida mengetahui keperluan bahawa setiap ahli parti yang memenangi PRU perlu menandatangani bon yang mengikat mereka agar membayar RM10 juta sekiranya meletak jawatan, bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Ujar Saifuddin yang juga Ahli Dewan Negara, bon itu adalah kontrak sah kerana wujud `tawaran’ daripada PKR dan `penerimaan’ oleh Zuraida.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Saifuddin berkata, beliau tidak menerima sebarang surat daripada Zuraida selepas bekas Naib Presiden PKR itu meninggalkan parti atau mendakwa bon ditandatangani di bawah tekanan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Zuraida juga merupakan ahli Biro Politik parti, kemudian menghadiri mesyuarat biro di ibu pejabat PKR pada 17 April 2018 untuk membincangkan persediaan berdepan PRU.

“Antara perkara dibangkitkan adalah manual untuk calon disediakan oleh setiausaha agung parti, yang mana diperincikan bahawa calon mesti menandatangani bon sebelum surat watikah calon dikeluarkan untuk bertanding pada pilihan raya,” katanya.

Saifuddin berkata, Zuraida bukan sahaja tidak membangkitkan apa jua bantahan dalam mesyuarat biro itu sebaliknya bersetuju keperluan syarat seumpama itu untuk `mengawal tingkah laku (calon)’.

Katanya, nilai RM10 juta itu dikenakan bagi menjaga imej parti yang ditubuhkan pada 1998.

Beliau berkata, PKR secara konsisten meraih sokongan ramai sejak PRU10 pada 1999 apabila parti dan rakan gabungan membentuk kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, dan Perak selepas PRU12, pada 2008,” katanya.

Ujar Saifuddin, pembelotan wakil rakyat dipilih seperti Zuraida yang menyeberang ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membentuk gabungan baharu dan kerajaan persekutuan pada 2020, merupakan ancaman kepada demokrasi berparlimen.

Sementara PKR dalam pernyataan tuntutan mendakwa, pada 24 Februari 2020 Zuraida mengumumkan keluar parti tanpa meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang dan selanjutnya membantu pembentukan gabungan politik baharu dikenali Perikatan Nasional.

Perbicaraan dihadapan Hakim Akhtar Tahir bersambung lagi esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI