fbpx
FASHA SANDHA

Tiada dendam, ambil iktibar – Fasha Sandha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HAMPIR merisikokan kecacatan organ penglihatan, namun insiden ‘berdarah’ yang berlaku di set penggambaran baru-baru ini itu tidak sehiris pun menjadi kudis, melumpuhkan semangat Fasha Sandha untuk terus berkarya.

Tiada sekelumit rasa marah apatah lagi menyimpan dendam, figura berusia 38 tahun itu memandang kejadian tersebut sebagai satu bentuk peringatan titipan Tuhan buat dirinya.

Sebetulnya, insiden tersebut membuatkan Fasha lebih berjaga-jaga di set penggambaran.

Kongsinya kepada HibGlam baru-baru ini, Fasha bagaimanapun sempat terhimpit rasa fobia ketika penglihatannya masih gelap dan kabur.

“Awalnya memang rasa agak seram dan fobia dengan kondisi mata sebab tak pernah melalui kecederaan teruk sebegitu.

“Hendak berjalan pun perlu pegang dinding sebab badan rasa tak seimbang tetapi saya lawan perasaan dan kuatkan hati, akhirnya dapat biasakan diri,” katanya.

Pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu memberitahu, impak kecederaan, dia diberikan rehat lebih seminggu oleh produksi drama Anak Tuan, namun nekad menyambung penggambaran walaupun belum sembuh sepenuhnya.

“Selepas kejadian tersebut pihak produksi rehatkan saya selama seminggu dan ada juga cadangan supaya tangguh tayangan drama tersebut, namun saya tak sampai hati.

“Kalau boleh tak mahu sebab insiden tersebut, periuk nasi kru produksi semua terjejas.

SIKAP profesional dan optimis Fasha Sandha ketara apabila dia langsung tidak menyalahkan regu lakonan, Azhan Rani yang sama-sama terlibat dalam adegan malang tidak berbau, terhantuk bucu katil di lokasi penggambaran tempoh hari.

“Saya selalu fikirkan orang, sampai kena marah dengan orang sekeliling supaya utamakan kesihatan diri dahulu,” jelas pelakon filem Anak Halal itu.

Ditanya kondisi ketika ini, kakak kepada aktres Elisya Sandha itu sebenarnya masih perlu menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) untuk mengetahui status semasa darah beku pada bahagian mata kirinya.

“Mengikut doktor, saya perlu buat ct scan sekali lagi untuk pastikan keadaan darah beku. Jika masih teruk, mungkin perlu jalani pembedahan.

“Menurut doktor lagi, tulang mata yang patah itu boleh sembuh secara sendiri tetapi akan ambil masa selama tiga hingga empat bulan,” ujarnya.

Bukan sahaja Fasha, insiden tersebut turut membuka mata banyak pihak mengenai risiko kemalangan dan kecederaan di set penggambaran.

Menyedari kejadian yang menimpanya itu meraih respons daripada penggiat seni lain, Fasha berharap insiden tersebut dijadikan pengajaran untuk semua pihak.

“Saya sudah berlakon lebih 20 tahun dan selama ini tak pernah kisah benda-benda berbahaya di sekeliling.

“Mungkin akan lebih berhati-hati atau saya sendiri yang pastikan kawasan itu selamat untuk menjadi lokasi penggambaran.

“Sebab itu saya tak mahu letakkan kesalahan ini ke atas bahu mana-mana pihak dan anggap dugaan kecil. Semoga kisah saya ini jadi iktibar untuk semua produksi tanah air termasuk para pelakon,” ujarnya.

BENGKAK pada mata kiri bintang Nana Tanjung sudah surut namun perlu menjalani rawatan susulan. – ihsan ALFARO/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Ramadan

Sama seperti umat Islam lain, isteri pelakon Aidil Aziz itu teruja setiap kali tibanya Ramadan.

Bukan sahaja dapat berkumpul dengan keluarga, Ramadan menjadi bulan memperbanyakkan amal dan ibadah.

“Tahun ini, anak-anak pun sudah pandai berpuasa. Seronok dapat masak dan nikmati juadah berbuka dengan mereka,” kongsi duta jenama fesyen Alfaro berkenaan.Selain itu, Fasha juga tidak sabar untuk menghadiri pelbagai majlis amal sepanjang bulan Ramadan ini.

“Pada bulan Ramadan juga saya dapat bersama dengan anak yatim dalam pelbagai majlis.

“Itu salah satu nikmat Ramadan yang sukar kita nak peroleh pada hari-hari lain sebab pada bulan inilah aktiviti kerja saya pun tidak terlalu padat,” ujarnya lagi.

Fasha yang kini bergelar duta jenama fesyen Alfaro selama dua tahun bergambar bersama pengasas Alfaro jenama berkenaan, Farooq Ahmed.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN