fbpx

45 bunga api, mercun boleh dijual hanya ketika musim perayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Anuar bercakap ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan sebanyak 45 jenis bunga api dan mercun untuk diimport, disimpan dan dijual hanya ketika musim perayaan.

Itu antara enam garis panduan yang ditetapkan KDN dengan pemantauan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan aspek keselamatan dan penguatkuasaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, penjualan bunga api dan mercun itu juga hanya boleh dilaksanakan oleh syarikat-syarikat yang berkelayakan.

“Sebanyak 45 jenis bunga api yang telah menjalani uji nilai dan disahkan selamat oleh PDRM boleh dijual yang hanya dibenarkan ketika musim perayaan sahaja.

“Pihak syarikat perlu mendapatkan permit menjual daripada PDRM dan permit berniaga daripada PBT selain mempunyai tempat simpan selamat bahan letupan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mengenai garis panduan kementerian dalam mengutamakan penilaian keselamatan dan penguatkuasaan penjualan mercun dan bunga api seperti insiden kecederaan atau kematian.

Shamsul Anuar berkata, tempoh penjualan mercun dan bunga api juga akan ditetapkan oleh pihak kementerian.

Tambahnya, dari segi penguatkuasaan keselamatan, PDRM sentiasa menjalankan pemeriksaan Ops Bunga Api Musim Perayaan dan membuat tangkapan bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 berkaitan mercun.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memastikan hanya syarikat yang telah diberi kelulusan sahaja dibenarkan untuk mengimport mercun dan bunga api yang dibenarkan.

“PBT juga memastikan hanya peniaga yang telah diberi kebenaran permit,lesen,kupon dan surat rasmi sahaja dibenarkan untuk berniaga mercun dan bunga api,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI