fbpx
Farha mengajak umat islam memperbanyak membaca al-Quran pada bulan Ramadan ini.

Sanubari al-Quran Farhatul Fairuzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SESI fotografi dan temu bual khas bersama qariah muda berperwatakan lemah lembut ini berjalan cukup lancar dan tenang sebening wajahnya.

Mula mencuri perhatian sejak bergelar Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019, gadis muda ini semakin meniti popular dan sering menghiasi rancangan-rancangan agama terutama melibatkan bacaan al-Quran.

Pertemuan singkat dengan Nor Farhatul Fairuzah Panut selama lebih kurang dua jam setengah itu diatur penulis bersama jurufoto Faiz Alif Ahmad Zubir di Wisma Televisyen (TV), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Angkasapuri, Kuala Lumpur petang Khamis lalu.

Anggun mengenakan busana persalinan wanita Muslimah jenis abaya berona hijau emerald, gadis berusia 23 tahun yang mesra disapa dengan nama Farha itu hadir tepat pada masa usai programnya bersama RTM selesai.

Kami memilih anak jati kelahiran Klang, Selangor ini untuk menghiasi Aura sempena Ramadan ini berikutan keperibadiannya sebagai Muslimah muda yang sering menjadi contoh buat belia dan remaja.

Membuka bicara dengan soalan mengenai perkembangan terkini dan kariernya yang semakin mekar menguntum, Farha memberitahu dia bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan.

“Jujur dengan nama Allah SWT saya tidak pernah terfikir akan berada sampai ke tahap ini. Saya percaya ini semua rezeki yang telah disusun Allah kepada semua hamba-Nya termasuk diri ini.

“Bercakap mengenai perkembangan karier terkini, Alhamdulillah rezeki saya murah dan dipermudahkan Allah lebih-lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan ini,” ujarnya membuka butir kata sambil melemparkan senyuman manis di bibir.

Meneruskan perkongsian, Farha yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu sekali lagi menadah tangan tanda syukur atas rezeki tidak disangka yang dikurniakan kepadanya.

Ujarnya, dia tidak menyangka lembaran dan perjalanan kerjayanya disusun begitu cantik hingga ke detik ini setelah bergelar johan qariah peringkat antarabangsa pada usia semuda 19 tahun.

“Alhamdulillah lepas dinobatkan sebagai juara sekitar empat tahun lalu, rezeki dan peluang untuk saya sentiasa ada.

“Saya ibaratkan ini sebagai satu amanah yang dipertanggungjawabkan Allah buat saya. Amanah yang perlu saya pikul dalam bentuk dakwah sesama umat manusia,” katanya.

Dalam kesibukan dijalani, Farha yang kini sibuk mengajar mengaji dan ilmu al-Quran secara dalam talian serta menjadi personaliti televisyen akui turut ‘berperang’ dengan kesuntukan masa.

Ujarnya, dia yang menguruskan semua jadual secara sendiri tanpa mana-mana pihak sekali gus memerlukannya untuk lebih bijak menyusun waktu dan segala tawaran yang diterima.

“Segala tawaran termasuk menjadi juri progam al-Quran di televisyen, mengajar mengaji secara online, menjadi pengacara televisyen, menerima undangan bersiaran di televisyen dan radio serta pelawaan media saya uruskan sendiri.

“Kadang-kadang kakak ketiga saya yang juga qariah, Faizah Panut turut menemani dan membantu menguruskan jadual andai dia tidak sibuk dengan keluarganya.

“Selebihnya memang saya sendiri yang uruskan. Sabtu lalu pun baru saja habis mengadili dan menjurikan program Akademi Qurra’ minggu akhir sebelum berangkat ke Singapura (Ahad) atas jemputan program ilmu oleh salah sebuah masjid di republik itu,” katanya.

Ditanya tentang cintanya kepada al-Quran dan taranum (mengaji berlagu), Farha tanpa berselindung memberitahu mula jatuh hati dan diberi pendedahan kepada kitab suci itu seawal usia lima tahun.

Mempunyai suara yang indah dalam mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran, Farha dinobatkan sebagai Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019.

“Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar taranum. Bila masuk darjah satu pula, saya didedahkan menyertai pertandingan tilawah.

“Mak dan Allahyarham ayah ialah insan yang banyak mendidik saya dan empat lagi adik-beradik sejak kami kecil untuk mendalami al-Quran memandangkan mereka berdua bekas qari dan qariah.

“Ayah jadi qari sekitar tahun 1990, manakala kali terakhir mak bergelar qariah pula pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan,” katanya.

Diaju mengenai kepentingan membaca al-Quran pada bulan Ramadan ini, Farha memberitahu, terdapat banyak fadilat dan kebaikan yang bakal diperoleh seseorang yang membaca al-Quran lebih-lebih lagi pada bulan penuh berkat ini.

Menurut Farha, membaca al-Quran pada bulan Ramadan tidak sama dengan membacanya pada bulan lain kerana amalan membaca al-Quran lazimnya sunat pada bulan lain, namun, apabila dibaca pada bulan Ramadan, ganjarannya ibarat melakukan amalan wajib.

“Sesiapa yang melakukan biarpun sekecil kebajikan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT pada bulan mulia ini termasuk membaca al-Quran, dia seakan sudah melaksanakan amalan fardu.

“Al-Quran adalah zikir yang paling agung dan kebanyakan kita akan berlumba untuk khatam pada bulan mulia ini. Jadi manfaatkanlah bulan ini untuk melakukan pelbagai ibadah dengan hati terbuka dan penuh ikhlas,” katanya.

Pesannya cuma satu, teruskan berbuat kebaikan dan istiqamah serta jangan sesekali berhenti separuh jalan apatah lagi putus asa dalam melakukan apa sahaja kebaikan di dunia ini.

Ujar Farha yang kini sedang melanjutkan pengajian tahun ketiga dalam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) lagi, sepanjang bulan

Ramadan ini juga dia terlibat seperti biasa bersama Astro Oasis menerusi program yang banyak menaikkan namanya, Geng Ngaji.

Kongsinya, cuma berbeza sedikit pada tahun ini, dia meminta jasa baik produksi untuk merakamkan program tersebut lebih awal bagi episod 10 hari terakhir Ramadan kerana bakal menunaikan umrah buat kali ketiga bersama keluarga tercinta.

“Alhamdulillah sekali lagi saya dan sebahagian keluarga diberikan kesempatan ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah di bulan penuh mulia.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang, kami juga akan menyambut Aidilfitri pertama di sana dan pulang semula ke tanah air pada raya kedua,” katanya yang juga masih aktif berniaga tudung secara online menerusi jenamanya sendiri, Farha Looks sejak pandemik lalu.

Ditanya mengenai persiapan peribadinya menyambut Ramadan tahun ini, Farha berkata, dia memang menunggu ketibaan bulan penuh berkat itu kerana mahu melipat gandakan ibadah bersama seisi keluarga.

Tuturnya, walaupun sepanjang Ramadan menuntutnya untuk turut bekerja, namun peluang untuk melakukan lebih banyak ibadah bukan satu penghalang atau alasan buatnya.

“Setiap kali tibanya Ramadan, memang saya dan keluarga akan manfaatkan sebaik mungkin untuk kita sama-sama melakukan ibadah.

“Ramadan jugalah bulan yang menyatukan kami sekeluarga walau sesibuk manapun dengan kerjaya dan komitmen hidup masing-masing,” katanya yang memasang impian bergelar pensyarah kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN