fbpx

K2

Cepat dapat kerja selepas graduasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setiap graduan pastinya mengharapkan diri mereka mendapat pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian. – GAMBAR HIASAN

BAGI para graduan baharu, cabaran untuk mencari pekerjaan merupakan satu cabaran yang tersendiri.

Boleh dikatakan, terdapat tiga perkara yang menjadi jurang pemisah antara graduan baharu dengan pekerjaan yang diidamkan.

Pertama, graduan baharu kurang mempunyai pengalaman sebenar dalam dunia pekerjaan. Hakikatnya, memasuki situasi pekerjaan sebenar merupakan satu dunia yang berbeza daripada dunia kampus.

Kedua, persaingan semakin tinggi yang memerlukan graduan baharu bukan sahaja bersaing dengan graduan universiti dalam negara, tetapi juga graduan Malaysia di luar negara yang pulang bekerja ke dalam negara.

Ketiga, tentang kemahiran atau kebolehan luar kelas yang berjaya dikumpul oleh para graduan semasa di universiti. Sebenarnya banyak kemahiran baharu yang kini menjadi keperluan akibat perkembangan teknologi yang telah mengubah landskap pekerjaan hari ini. Ia mula diperlukan di tempat kerja dan amat berbeza dengan apa yang dipelajari di universiti.

Namun, ini semua tidak bermakna pekerjaan idaman itu tidak dapat diperoleh. Ada beberapa perkara yang perlu dipersiap agar para graduan cepat mendapat pekerjaan setelah menamatkan pengajian di universiti.

Curriculum Vitae (CV) adalah satu kemestian. Hari ini, terdapat banyak laman web dan aplikasi yang membantu pencari kerja mereka bentuk CV yang menarik.

CV yang menarik adalah kelebihan untuk pemohon kerja. Para graduan perlu mula membangunkan CV mereka seawal memasuki universiti.

Apa yang tertera dalam kandungan CV seseorang graduan baharu juga akan membentuk personaliti mereka dan ditonjolkan dalam sesi temu duga.

Para graduan baharu juga dinasihatkan agar menyediakan CV mereka dalam bentuk dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris supaya boleh dibaca oleh semua pihak atau lebih ramai majikan.

Apabila satu kekosongan dibuka, e-mel permohonan yang masuk boleh mencecah ratusan. Yang pertama dibuka sudah tentu CV dan bakal majikan mengharapkan kandungan CV boleh menggambarkan profil keseluruhan pemohon.

CV yang menarik akan menentukan sama ada perekrut akan memprosesnya dengan lebih lanjut atau tidak.

Kini, ramai para graduan baharu yang mencari kerja sedangkan kekosongan jawatan yang ada adalah terhad. Lebih kerap dan lebih banyak jawatan dipohon, maka lebih besar peluang profil seseorang akan dilihat oleh perekrut pekerjaan.

Karnival-karnival kerjaya sering menjadi tumpuan ramai pencari kerja termasuk para graduan baharu sekali gus menggambarkan persaingan dalam mendapatkan kerjaya idaman. – GAMBAR HIASAN

Para graduan baharu perlu lebih fokus pada kelayakan pekerjaan yang dipohon. Pemohon harus fokus dalam melihat kelayakan dan keperluan jawatan kosong yang ada. Adakah skil tambahan yang diperlukan oleh para majikan itu ada pada diri pemohon?

Bukan itu sahaja, pemohon juga mesti mempunyai pengetahuan tentang operasi utama syarikat yang ingin dipohon itu.

Kita sering mendengar, para pemohon pekerjaan kadangkala tidak ambil maklum dengan baik tentang kelayakan pekerjaan yang diingini.

Sebagai contoh, graduan baharu memohon suatu jawatan kosong yang sebenarnya memerlukan pengalaman lebih lima tahun. Maka, kemungkinan besar CV calon itu tidak akan diproses.

Dalam pada itu, semakin ramai orang yang para graduan temui, semakin luas perhubungan mereka. Jadi, mungkin melalui para kenalan atau persatuan, ini akan membuka laluan untuk mereka menemukan peluang pekerjaan atau sesuatu jawatan baharu.

Kekuatan inilah yang membezakan seorang graduan baharu dengan pesaing mereka yang hanya bergantung kepada keputusan pengajian sahaja.

Para graduan baharu juga harus bersedia untuk menghadapi apa sahaja cabaran pekerjaan. Mereka ini mesti cekal menerima segala yang mungkin berlaku, contohnya tentang penempatan kerja dan kerja lebih masa.

Ketika dalam proses pengambilan, mereka perlu sudah menyatakan kesediaan untuk ditempatkan di luar bandar dan bekerja untuk jam yang panjang. Komitmen itu perlu dikekalkan apabila mereka diterima bekerja.

Ini kerana, daripada beberapa pengalaman lalu, terdapat rungutan daripada para majikan bahawa ramai pemohon pekerjaan yang gagal memenuhi apa yang mereka janjikan semasa temu duga.

Selain itu, satu perkara yang tidak kurang pentingnya bagi para graduan baharu ialah mereka perlu percaya kepada diri sendiri untuk mendapat pekerjaan yang diimpikan.

Fahami dan sayangi diri sendiri, kenali kekuatan serta kelemahan diri. Jika ada kekurangan, ia harus diperbetul supaya tidak tersangkut pada perjalanan kerjaya mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI