fbpx

Bukan salah sesiapa, Fasha tak serik berlakon dengan Azhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ENGGAN menuding jari kepada sesiapa, insiden yang menimpanya di set penggambaran baru-baru ini dianggap Fasha sebagai ujian kecil. Foto - FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

KUALA LUMPUR – Aktres popular Fasha Sandha enggan menyalahkan mana-mana pihak susulan kecederaan yang dialaminya di set penggambaran drama Anak Tuan baru-baru ini.

Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan memberitahu, dia menerima setiap pandangan orang ramai mengenai insiden tersebut termasuk daripada rakan selebriti seperti Datuk Fizz Fairuz.

“Datuk Fizz adalah sahabat rapat saya. Saya tak tahu maksud di sebalik komennya itu, mungkin sekadar pendapat supaya kejadian sebegitu tidak berulang lagi.

“Saya terima pandangan tersebut dan melihatnya dari sudut positif termasuk pendapat yang lain.

“Semua orang bebas untuk melontarkan pandangan mereka tetapi janganlah salahkan sesiapa, tiada siapa pun mahu insiden tersebut berlaku,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di Majlis Menyambut Ramadan Alfaro & Media di sini, semalam.

Dalam pada itu, bintang drama Serpihan Sayang itu berharap semua pihak termasuk kru produksi dan para pelakon mengambil iktibar daripada kejadian yang menimpanya.

“Hikmah daripada insiden ini sebenarnya membuka mata banyak pihak mengenai hal-hal keselamatan di set penggambaran.

“Sebelum insiden sebegini berlaku, saya tidak kisah sebab ada orang yang akan memeriksa dari sudut keselamatan tetapi selepas ini akan periksa sendiri.

“Walaupun alami kecederaan, saya tak meletakkan kesalahan terhadap mana-mana pihak dan menganggapnya sebagai dugaan kecil,” katanya lagi.

Mengenainya hubungannya dengan Azhan Rani selepas insiden tersebut, dia berkata, mereka hanya menjalankan tugas sebagai pelakon untuk menjiwai watak yang ditugaskan.

“Saya tak salahkan Azhan atas apa yang berlaku malah sangat meminati lakonannya.

“Azhan ada cakap supaya jangan serik untuk bekerjasama lagi selepas ini. Saya pun beritahu perkara sama.

“Mungkin ketika itu, kami terlalu menjiwai watak. Lebih-lebih lagi itu kali pertama kami berlakon bersama, jadi masing-masing nak berikan yang terbaik,” ujarnya lagi.

Berkongsi perkembangan kesihatan, isteri kepada pelakon Aidil Aziz berkenaan berkata, dia akan menjalani pembedahan untuk membuang darah beku pada mata kirinya.

“Nampak saya bekerja seperti biasa tetapi hakikatnya menahan sakit juga.

“Antara kesannya ialah saya mudah sakit kepala. Apa pun saya anggap ini sebagai ujian kecil dan tidak tertekan mengenainya,” jelasnya.

Pada 2 Mac lalu, Fasha mengalami kecederaan selepas mata kirinya terhantuk pada bucu katil kayu di lokasi set penggambaran drama Anak Tuan ketika menjayakan satu babak bersama Azhan.

Insiden tersebut menyebabkan Fasha patah tulang di bahagian mata kiri dan bebola mata kirinya juga berdarah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI