fbpx

Kontraktor didakwa tipu projek agro pelancongan hampir RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi pegawai polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka, hari ini.

ALOR GAJAH – Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menipu pembinaan projek pembangunan agro pelancongan ladang buah tin bernilai hampir RM1 juta, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Shaiful Omar, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu Mohamad Balok, 53, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai dirinya akan menyiapkan projek pembangunan agro pelancongan di ladang buah tin di Solok Duku Masjid Tanah dalam tempoh lapan bulan.

Tindakan itu menyebabkan mangsa yang juga pemilik ladang tin terbesar di Melaka bertindak menyerahkan sejumlah RM801,000 kepada tertuduh bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan itu.

Difahamkan projek itu bagi tujuan pembinaan kafe dan 30 unit bilik resort dengan pembayaran dibuat secara berperingkat oleh mangsa antara 21 November 2021 sehingga 27 April 2022 lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang juga pemilik sebuah syarikat turut berdepan satu lagi pertuduhan menjalankan dan menyiapkan kerja-kerja pembinaan projek berkenaan dengan tidak memegang suatu perakuan pendaftaran yang sah daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 25(1), Akta CIDB 1994 (Akta 520) dan di bawah Seksyen 29 akta sama yang memperuntukan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor V. Somsundram mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili peguam Zulfahmi Abu Bakar bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan merupakan penanggung tunggal keluarga.

Nariman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan dua penjamin bagi setiap pertuduhan, selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali dalam sebulan sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh 18 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI