fbpx

Keluarga bantah anak buat majlis kahwin kecil, mahu 1,000 tetamu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seorang individu yang tidak mahu namanya didedahkan meluahkan rasa tertekan apabila perancangan dia dan tunang untuk mengadakan sebuah majlis perkahwinan secara sederhana, mendapat tentangan daripada keluarga.

Katanya, dalam perancangan awal, dia mahu menjemput sekitar 300 tetamu sahaja kerana ingin mengelak daripada terbeban dengan kos perkahwinan yang tinggi.

Namun, ibunya membantah dan memaklumkan mahu menjemput 1,000 tetamu disebabkan mempunyai kenalan yang ramai.

“Saya nak kahwin dalam masa terdekat dan tunang saya setuju nak buat secara sederhana. Masalahnya mak saya tak setuju dia cakap kahwin ini sekali sahaja dan dia ramai kawan dan saudara-mara nak dijemput.

“Saya dan tunang pula bajet nak jemput 300 orang maksimum, tetapi lepas mak kira-kira adalah 1,000 tetamu dan ia lebih daripada bajet kami,” luahnya menerusi sebuah portal @ConfessTweetMY di Twitter, hari ini.

Bagi meredakan keadaan, dia memaklumkan kepada pasangannya untuk mengikuti sahaja kehendak ibu bapanya itu, selain memberi cadangan agar segala kos tambahan boleh diganti semula menggunakan pemberian ‘duit salam’ daripada tetamu yang hadir nanti.

“Saya cakap kepada tunang, tak apalah, buat sahaja untuk 1,000 itu nanti ada ‘salam keruk’ (duit salam), jadi boleh ganti balik kos majlis.

“Tetapi tunang cakap duit itu nanti ibu bapa saya yang akan ambil, bukan untuk pengantin,” katanya.

Dalam pada itu, individu tersebut turut mempersoalkan mengapa dalam mengadakan sebuah majlis perkahwinan, menjadi keutamaan untuk memanggil ramai jemputan seolah-olah mahu meraikan kedatangan mereka berbanding melihat kepada peruntukan kewangan yang ada.

“Kenapa kita nak kahwin, tetapi nak diraikan kawan-kawan ibu bapa lepas itu kita pula yang nak kena bayar semuanya.

“Saya rasa konsep majlis kahwin ini salah, patutnya majlis kahwin, kita jemput kenalan rapat kita sudahlah,” jelasnya.

Sementara itu, luahan individu berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna dengan hampir 500 ciapan semula sejak pagi tadi.

Ada juga yang berkongsi pengalaman berdepan dengan situasi yang hampir sama menerusi ruangan komen.

“Saya pernah alami macam awak cerita, saya nak buat majlis kecil keluarga saya nak panggil ramai. Saya bukan apa, simpanan yang ada kalau boleh untuk kegunaan lepas berkahwin bukan semata-mata nak habiskan untuk satu majlis sahaja.

“Sebab tak nak digelar anak derhaka, sampai dua tahun saya tangguh kahwin demi nak cari duit lebih dahulu,” kongsi Syazira.

Selain itu, beberapa pengguna lain turut menasihatkan agar ibu bapa di luar sana tidak terlalu membebankan anak-anak yang mahu mendirikan rumah tangga disebabkan perlu memenuhi permintaan melampau mereka yang inginkan sebuah majlis perkahwinan secara besar-besaran.

“Cukup buat mana yang anak mampu, bukan ibu bapa yang tetapkan itu ini. Kkalau nak belanja majlis kahwin anak, tak apalah,” kata Mustaqim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI