fbpx

‘Klasiknya Raya’ Mydin, MBSB tawar penjimatan sempena Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ameer Ali (kira) dan Salahuddin (kanan) ketika pelancaran 'Klasiknya Raya' di Subang Jaya, hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

SUBANG JAYA – Rangkaian pemborong dan peruncit terbesar tempatan, Mydin menganjurkan kempen ‘Klasiknya Raya’ dengan kerjasama rakan eksklusif perbankan MBSB Bank sempena menjelangnya sambutan bulan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin berkata, tema ‘Klasiknya Raya’ dipilih bagi menggamit semula tradisi dan semangat perayaan dengan menawarkan pelbagai keperluan bagi pelanggan mendapatkan keperluan dengan harga kompetitif dan mampu milik.

Menerusi kempen itu, pihaknya menawarkan pelbagai seleksi barangan keperluan rumah dan dapur, pelbagai pilihan baju raya lelaki, wanita serta kanak-kanak, perhiasan rumah, kuih raya dan pilihan kurma.

Selain itu, jualan Rahmah baju raya serta Bazar Ramadan Rahmah turut diadakan bagi meringankan beban perbelanjaan khususnya bagi persediaan untuk musim perayaan nanti.

“Kita juga bekerjasama dengan rakan e-dompet iaitu Atome, Boost, MBSB Bank e-wallet, MCash dan Touch’n GO eWallet yang menawarkan pulangan tunai keseluruhan bernilai RM300,000 bagi setiap transaksi di Mydin dan sah sehingga 7 Mei ini.

“Bagi meneruskan sokongan terhadap inisiatif kerajaan menyantuni golongan memerlukan, Mydin turut akan menyumbang Bakul Rahmah bernilai RM100,000 kepada golongan memerlukan melalui inisiatif Mydin Prihatin.

“Malah bagi mengimarahkan sambutan bulan Ramadan ini, Mydin dengan rakan pembekal akan mengagihkan 40,000 pek bubur lambuk bagi meneruskan tradisi bulan Ramadan,” ujarnya ketika pelancaran kempen berkenaan tengah hari tadi.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang hadir merasmikan kempen berkenaan berkata, sokongan penuh daripada pemain-pemain industri bagi Payung Rahmah sangat dihargai pihaknya.

“Saya bersyukur kerana pemain industri turut membantu serta memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif yang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) anjurkan.

“Mydin sangat serius menyokong konsep Payung Rahmah, bermula daripada Menu Rahmah dan sekarang mereka tampil dengan Jualan Rahmah ‘Klasiknya Raya’. Baju kanak-kanak, tudung bermula dengan harga RM12.90 sehinggalah pakaian dewasa semurah RM30 dapat dinikmati di pasar raya Mydin.

“Ini merupakan berita gembira buat rakyat yang kesusahan dan kita sangat hargai apa yang dilakukan Mydin di samping mengharapkan ia dapat akan dituruti oleh gedung-gedung tekstil terkemuka dan butik kecil dalam negara kita,” ujarnya.

Menurut Salahuddin, KPDN akan mengusahakan pelbagai inisiatif lain bagi membantu meringankan beban rakyat yang kesusahan dalam mengharungi kos sara hidup yang tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI