fbpx

Pernas labur RM1 bilion dalam syarikat tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SARASWATHY (tiga dari kiri) bersama Hazimah (dua dari kiri) dan Hairolsham (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran Outlet Korporat FTW Racing di sini.

PETALING JAYA – Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) telah membuat pelaburan berjumlah hampir RM1 bilion bagi membantu pembangunan syarikat tempatan, menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami.

Jelasnya, sejak skim pelaburan Pernas diperkenalkan mulai tahun 1998 sehingga kini, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) itu telah melabur dalam 86 syarikat, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM977 juta.

“Bagi tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2021 sehingga tahun 2025, Pernas telah memperuntukkan RM300 juta, atau RM60 juta setahun bagi pelaburan ekuiti ke dalam syarikat-syarikat yang berdaya saing termasuk dari sektor runcit, makanan, perkhidmatan dan pendidikan.

“Terbaharu, Pernas memberikan suntikan pelaburan berjumlah RM5 juta kepada FTW Racing sebagai usaha untuk membantu jenama ini ke arah francais,” katanya pada Majlis Perasmian Outlet Korporat dan Aplikasi FTW Racing di Jalan Kemajuan, dekat sini petang tadi.

Hadir sama ialah Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif FTW Ventures Sdn. Bhd., Hairolsham Abu Bakar.

Dalam majlis itu, FTW Racing turut melancarkan aplikasi baharu yang memfokuskan kepada penawaran produk-produk aktiviti lasak seperti jersi, seluar, kelengkapan keselamatan dan topi keledar untuk penunggang motosikal serta basikal.

ANTARA pelbagai produk yang ditawarkan FTW Racing.

Aplikasi tersebut boleh dimuatnaik di Google Play Store atau Apple App Store.

Sementara itu, Hazimah berkata, menerusi suntikan dana daripada Pernas, FTW Racing telah berjaya beroleh hak pengedaran eksklusif bagi jenama sukan lasak terkemuka daripada Amerika Syarikat, iaitu Fox Racing untuk pasaran Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Tambahnya, syarikat berkenaan turut menyasarkan untuk membuka 14 buah outlet lagi di seluruh negara termasuk menggunakan konsep francais dalam tempoh dua tahun, sebagai penambahan kepada 15 outlet sedia ada termasuk lapan di Indonesia dan masing-masing satu di Brunei serta Singapura.

“Selain itu, FTW Racing juga merupakan peserta program Xcelerator anjuran Pernas sejak 2021.

“Kami menyasarkan untuk mendaftarkan jenama FTW Racing sebagai francaisor selewat-lewatnya pada bulan Julai ini,” ujarnya.

Pada tahun 2022, FTW Racing mencatatkan jualan RM11 juta termasuk daripada jenama mereka sendiri dan syarikat menyasarkan potensi jualan sehingga empat kali ganda pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI