fbpx

Dewan Rakyat: Penduduk Wilayah Persekutuan paling ramai murung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Wilayah Persekutuan merupakan kawasan paling ramai penduduknya mengalami masalah kemurungan (anxiety) dengan 336,900 orang dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan keputusan saringan.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu diketahui selepas saringan dilakukan tahun lalu ternyata penduduk Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan paling ramai menghidap anxiety.

“Dalam keputusan itu, kita mendapati negeri tertinggi dengan masalah kemurungan dan anxiety adalah di Wilayah Persekutuan. Orang Wilayah ini ada banyak masalah.

“Antara puncanya masalah perhubungan serta tekanan ibu bapa serta perhubungan dengan rakan sebaya dan mungkin antara sebab mereka yang mengalami masalah kemurungan dan anxiety,” ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd. Sany Hamzan (PH–Hulu Langat) yang ingin tahu negeri mana yang menghadapi masalah gangguan mental di negara ini.

Menurut Dr. Zaliha, KKM mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi permasalahan kesihatan mental yang dialami masyarakat khususnya bagi kumpulan sasar termasuk kanak-kanak, remaja, golongan muda dan warga emas.

Tambahnya, sebanyak 1,161 Klinik Kesihatan, 58 buah hospital, 34 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) dan empat institusi mental disediakan meliputi aspek promosi, pencegahan, pengesanan awal dan rehabilitasi.

KKM mengadakan kolaborasi dengan kementerian lain iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“KKM juga melaksanakan Kempen Let’s Talk Minda Sihat yang merupakan satu smart partnership melibatkan agensi kerajaan serta pihak badan bukan kerajaan dalam mempromosikan penjagaan kesihatan mental,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI