GEORGE TOWN – Kurang dua minggu sebelum sesi persekolahan baharu dibuka, golongan ibu bapa kini mula merasai keperitan untuk memikirkan pelbagai kos yang perlu ditanggung bagi keperluan anak-anak mereka.
Selepas merungut ekoran kenaikan harga pakaian, kasut dan kelengkapan sekolah, ibu bapa semakin pening kepala apabila harga buku latihan sekolah didakwa mengalami kenaikan pada tahun ini.
Rata-rata ibu bapa yang ditemui Kosmo! mengakui terpaksa berbelanja sehingga RM250 bagi seorang anak untuk membeli pelbagai jenis buku latihan yang dikategorikan sebagai ‘wajib ada’.
Bukan setakat itu, ada juga ibu bapa yang terpaksa membeli set peralatan menulis dan buku nota bukan berlogo sekolah yang kebiasaannya jarang digunakan di dalam kelas.
Seorang pekerja swasta, Sakinah Ahmad, 40, berkata, dia terpaksa membelanjakan kira-kira RM600 untuk membeli buku rampaian iaitu buku nota dan latihan untuk tiga anaknya yang belajar di sekolah rendah.
Jelasnya, bantuan awal persekolahan (BAP) berjumlah RM150 yang diberi kerajaan memang tidak cukup untuk menampung pembelian barangan kelengkapan sekolah untuk seorang anak sehingga memaksa mereka menggunakan wang simpanan.
“Dua anak saya berada di Tahap 2, manakala si adik pula akan memasuki Tahun Satu. Bayangkan, RM220 seorang hanya untuk buku-buku sekolah yang wajib beli selain kos tambahan untuk baju-T dan seluar sukan.
“Kali ini, saya tiada pilihan lain dan terpaksa membeli pakaian sukan baharu disebabkan sudah dua tahun anak bertahan memakai pakaian sukan yang sendat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Dalam pada itu, seorang lagi pekerja kilang, Nadiah Arshad, 38, memberitahu, dia turut terkesan dengan perbelanjaan buku-buku sekolah untuk dua anaknya yang mencecah RM400.
“Dua tahun lalu, harga buku nota termasuk buku aktiviti bagi Tahap 2 dan baju serta seluar sukan tidak sampai RM200 seorang, hanya RM130 hingga RM140.
“Tetapi kali ini, saya tidak ambil pembalut buku kerana perbelanjaan untuk buku-buku dan baju-t sukan sahaja sudahpun melebihi RM200 seorang.
“Pengusaha buku memaklumkan yang murid-murid Tahap 2 akan berdepan depan ujian sesi akademi pada pertengahan dan akhir tahun. Justeru, murid-murid wajib ada set buku-buku latih kerja untuk digunakan di dalam kelas nanti,” jelasnya.
Di Petaling Jaya, Selangor, keluhan turut kedengaran daripada golongan ibu bapa yang mendapati berlaku kenaikan harga melibatkan buku-buku latihan sekolah.
Seorang pekerja swasta, Nurul, 45, berkata, memang terdapat kenaikan harga buku sekolah anaknya yang kini berada di Tahun Enam dan perbezaannya agak ketara berbanding harga beberapa tahun lepas.
“Buku sekolah anak saya berjumlah RM162 untuk buku latihan dan buku kerja. Tahun 2021, harga buku-buku ni cuma RM110. Memang banyak juga beza dengan tahun ini. Macam saya ada lima anak bersekolah termasuk sekolah menengah, memang terasa jugalah.
“Pihak sekolah biasanya memang wajibkan ibu bapa beli buku-buku di koperasi sekolah dan kalau tak ada stok, baru mereka saran beli di kedai buku tertentu atau beli semasa anak masuk sekolah,” jelasnya.
Bagi Mohd Masri, 42, kenaikan harga barang mungkin antara faktor terdapat sedikit kenaikan bagi harga buku-buku sekolah.
“Harga buku tahun ini naik sikit. Mungkin sesuai ikut situasi sekarang yang banyak barang pun naik harga,” katanya.














