fbpx

Dewan Rakyat: Tiada keperluan darurat di Johor – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan banjir dari udara yang melanda bandar Kota Tinggi. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan tiada keperluan untuk pengisytiharaan darurat di negeri Johor kerana peraturan semasa adalah mencukupi untuk menangani situsi ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan kepada perbincangan dengan Kerajaan Negeri dan Mesyuarat Jemaah Menteri serta pemerhatian beliau sendiri termasuk Timbalan Perdana Menteri I dan lain-lain menteri Persekutuan, pengisytiharaan darurat tidak diperlukan.

Kata beliau, didapati keadaan pengurusan bencana di Johor juga dapat dijalankan dengan baik berdasarkan peraturan sedia ada serta kesiapsiagaan keseluruhan pelbagai jentera Kerajaan Persekutuan dan juga negeri.

“Walau bagaimanapun diakui terdapat sedikit cabaran disebabkan oleh kompleksiti dan saiz bencana banjir kali ini.

“Dalam pada itu, MetMalaysia juga telah meramalkan bahawa intensiti hujan akan berkurangan bermula 6 Mac 2023 di Johor. Ini membolehkan jangkaan situasi banjir di Johor akan beransur pulih,” katanya ketika sesi Pertanyaa-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang ingin tahu mengapa kerajaan masih tidak melaksanakan darurat banjir khususnya di Johor sedangkan situasi semakin buruk.

Tambah Perdana Menteri, kerjasama jitu di antara Kerajaan Persekutuan, Negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat telah dapat membantu kelancaran pengurusan bencana banjir yang sedang berlaku itu.

“Fokus utama selepas ini adalah untuk proses pasca bencana meliputi pembersihan, pembaikan infrastruktur dan kemudahan awam, serta agihan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana.

“Koordinasi akan dibuat oleh NADMA bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor untuk mengenal pasti keperluan dan sokongan yang diperlukan oleh negeri Johor untuk proses pasca bencana,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI