fbpx

Ahli perniagaan bergelar Datuk dicekup bersama RM10.8 juta syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yahaya menunjukkan bungkusan teh cina yang berisi syabu dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ antara ditahan setelah disyaki menjalankan sindiket dadah bernilai RM10.8 juta bersama tujuh orang anak buahnya dalam serbuan berasingan di tiga negeri, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, sebanyak lima serbuan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan bermula pukul 11 pagi hingga 2 petang, pada hari kejadian.

Katanya, operasi yang dianggotai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kuala Lumpur telah menumpaskan sindiket tersebut yang aktif sejak awal tahun ini.

“Seramai tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 27 hingga 61 tahun ditangkap bersama 300 kilogram (kg) syabu dan 2 kg pil ekstasi bernilai RM10.8 juta.

“Enam orang daripada mereka disahkan positif dadah jenis methamphetamine dan empat daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Yahaya, setakat ini, sindiket dadah itu merupakan rampasan terbesar bagi kontinjen tersebut pada tahun ini.

Ujar beliau, sindiket dadah disyaki didalangi Datuk berusia 61 tahun itu mendapatkan bekalan daripada sempadan utara tanah air.

“Pasaran sindiket ini melibatkan negeri luar Semenanjung seperti Sarawak dan negara Indonesia dengan menggunakan kenderaan yang telah diubah suai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Pihak kami turut menyita tujuh buah kereta pelbagai jenis, barang kemas dan wang tunai keseluruhannya berjumlah RM 481,966. jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM11.2 juta dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI