CHANGLUN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyerbu sebuah stor yang disyaki menjalankan kegiatan penyelewengan diesel di Sungai Laka di sini semalam.
Dalam Ops Tiris kira-kira pukul 5.30 petang itu, sebanyak 5,620 liter diesel dianggarkan bernilai RM11,802 dirampas.
Pengarah KPDN negeri, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan ke atas stor tanpa nombor itu dilakukan susulan risikan dilakukan pegawai penguat kuasa KPDN negeri.
“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap premis yang tidak berpenghuni tersebut menemui lapan intermediate bulk containers (IBC), 17 tong drum dan 34 tong jerry can yang mengandungi diesel. Kita turut merampas peralatan lain antaranya lapan unit tong fiber, sebuah mesin penjana kuasa, dua unit pam kelajuan tinggi dan tiga unit pam pemindahan diesel,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 20 (1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan iaitu diesel bukan di tempat yang dilesenkan. – KOSMO! ONLINE














