fbpx

Polis tumpas 3 sindiket edar dadah, rampasan RM2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmi menunjukkan ketulan ganja mampat yang berjaya dirampas pada sidang akhbar berhubung kejayaan menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dengan nilai rampasan RM2 juta di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini. -FOTO FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah sekitar Kuala Lumpur dengan nilai rampasan berjumlah RM2 juta dalam Op Tapis Khas bermula 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, Op berkenaan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Katanya, dalam beberapa serbuan berasingan pihak polis telah berjaya menahan enam individu warga tempatan berusia 21 hingga 44 tahun terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita bergiat aktif dalam pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang.

“Pada 27 Feb, sindiket pertama melibatkan dua lelaki berusia 28 dan 30 tahun telah ditahan di tempat letak kereta Taman Tun Dr Ismail dengan rampasan ganja seberat 20 kilogram (kg) angaran nilai rampasan RM50,000.

“Sindiket kedua pula polis berjaya menahan seorang individu berusia 21 tahun juga di Taman Keramat dan Melati dengan rampasan Syabu seberat 6 kg bernilai RM246,000 selain merampas wang tunai berjumlah RM1,000,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambahnya, tangkapan sindiket ketiga pula berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia 36 hingga 44 tahun sekitar Segambut, Cheras dan Pandan Perdana.

“Hasil tangkapan itu, polis berkata berjaya merampas serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) 7.6kg, cecair MDMA (14 liter), Ketamine (3.8kg), Pil Erimin 5 (10,120 biji), Syabu (1 kg), Pil Ecstacy (2,810 biji), Ganja (43 gram) dan serbuk Ecstacy (10 gram).

“Polis turut menyita kenderaan, barangan kemas, wang tunai serta dadah dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM1.9 juta,” ujarnya.

Azmi berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semua suspek itu tidak memiliki pekerjaan tetap dengan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama.

“Semua dadah yang dirampas itu dipercayai diperolehi daripada pembekal di Lembah Klang untuk dipasarkan di sekitar Kuala Lumpur serta mampu menampung seramai 100,000 orang pengguna dadah,” – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI