fbpx
MOHD. AZLEE dan pasangannya Noor Bayah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - FOTO SYAFEEQ AHMAD

Pasangan duda, ibu tunggal didakwa curi 20 kotak susu formula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang duda dan kekasihnya, ibu tunggal didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri 20 kotak susu formula bernilai RM6,747.60 di sebuah pasar raya di sini, bulan lalu.

Tertuduh Mohd. Azlee Ibrahim, 39 dan Noor Bayah Ab. Manaf, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh secara bersama-sama didakwa dengan niat curang telah mencuri 20 kotak susu jenama Enfalac A+ 2FL Step 1 2.32 kilogram dan Enfalac A+ 2FL Step 2 2.32 kilogram bernilai RM6,747.60 yang diletakkan di rak jualan tanpa kerelaan pemiliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 5 petang hingga 7.45 malam di Pasar Raya Aeon Lebuh Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 13 Februari lalu dan sabit kesalahan, pasangan itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh.

Mohd Azlee yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan hanya bekerja sebagai operator kilang dan mempunyai empat anak kandung masih bersekolah serta menyara bayi Noor Bayah yang juga bakal isterinya berusia tujuh bulan.

Noor Bayah turut meminta jaminan rendah kerana merupakan ibu tunggal serta tidak bekerja dan selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Nabilah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dan menetapkan tarikh 17 April ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN