fbpx

Lee Chong Wei tiada sekarang tanpa BAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHONG WEI bergambar bersama patung lilin dirinya sambil ditemani Hannah dan Adam Adli pada Majlis Memperkenalkan Patung Lilin Datuk Lee Chong Wei, di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur sebentar tadi. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei tidak dapat membendung kesedihan apabila mengalirkan air mata ketika berkongsi pengalaman sepanjang 19 tahun karier bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pada majlis memperkenalkan patung lilin dirinya hasil rekaan Madame Tussauds Hong Kong di Kuala Lumpur hari ini, bekas pemain No.1 dunia itu menceritakan pahit jerih semasa bergelar jaguh kebangsaan.

Chong Wei menegaskan, beliau tidak mampu untuk berada di kedudukan sekarang sekiranya hanya mengharapkan kemampuan diri semata-mata tanpa bantuan daripada BAM.

“Saya perlu berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya BAM. Tiada BAM, tiada Chong Wei, BAM sentiasa bersama saya daripada saya tiada apa-apa sehinggalah saya ada sesuatu (kejayaan-kejayaan diraih).

“Saya akui perjalanan kerjaya saya seperti ‘roller coaster’ yang ada turun naik. Paling saya ingat adalah ketika melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016 yang mana saya berdepan kes doping.

“Ranking saya jatuh ke-182 dunia tetapi dengan sokongan semua pihak terutamanya BAM, saya dapat kembali sebagai pemain No.1 dunia dalam tempoh 11 bulan,” kata pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu.

Turut hadir pada majlis memperkenalkan patung lilin itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abdul Halim serta Presiden BAM merangkap Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Jelas Chong Wei, beliau juga tidak akan mengecap kejayaan seperti yang diraihnya sebelum ini sekiranya bergerak secara bersendirian, sebaliknya memerlukan sokongan semua pihak termasuk BAM, penaja serta barisan kejurulatihan.

“Biasanya apabila ada kes doping seperti yang saya alami, penaja akan lari tetapi saya cukup bertuah kerana Yonex dan 100PLUS tetap memberikan sokongan penuh dan percaya dengan kemampuan diri saya.

“Saya juga berterima kasih kepada barisan jurulatih yang pernah membimbing saya seperti Datuk Misbun Sidek, Datuk Rashid Sidek, Hendrawan dan Datuk Tey Seu Bock yang banyak membantu saya,” ujarnya.

Patung lilin Chong Wei yang siap pada Oktober tahun lalu dan dipamerkan di Muzium Madame Tussauds Singapura singgah di Malaysia, hari ini sebelum dipindahkan secara kekal di Hong Kong esok.

Patung berkenaan diperagakan dengan jersi dipakai Chong Wei ketika Sukan Olimpik Rio 2016 yang menyaksikan dia meraih pingat perak ketiga dan terakhirnya pada temasya sukan terbesar dunia itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI