PETALING JAYA – Berang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada menyelar tindakan lelaki itu menggunakan isu kasih sayang terhadap anak-anak sebagai hanya pendekatan mempertahankan diri.
Kecewa diperlakukan secara melampau sehingga meninggalkan kecacatan kekal pada wajahnya, Shuhada berkata kehidupan Hafidz selepas ini tidak akan tenang dan akan terus dibayangi dirinya sehingga mati.
Malah, wanita berusia 29 tahun itu juga mendedahkan suaminya masih berhubungan dengan wanita yang didakwa menjadi punca kehancuran rumah tangga mereka.
“Tak pernah berhubung lagi adalah mengarut. Hiduplah dengan bayang-bayang aku sampai mati, kau tak akan tenang.
“Kalau sekarang baru nak ukur kasih sayang buat anak-anak untuk pertahankan diri jadi manusia lebih bagus, teruskanlah sekiranya boleh buat kau bahagia.
“Yang pasti selamat maju jaya dan Allah SWT tahu kau tak pernah beli beras,” katanya dalam satu perkongsian InstaStory semalam.
Dalam perkongsian sama, pemilik nama penuh Nurul Shuhada Mat Shukri itu juga memerli Hafidz kerana memukulnya sehingga meninggalkan kecacatan kekal pada bahagian mukanya.
“Terima kasih untuk kecacatan kekal pada muka aku. Semoga Allah balas seberat-berat kifarah buat anda.
“Hal ini kerana Ustaz Azhar Idrus mengesahkan bahawa tidak salah mendoakan keburukan untuk manusia yang zalim!” katanya lagi.
Shuhada juga menyelar tindakan suaminya yang berlagak seperti mangsa dan tidak mengakui kesalahan dilakukan sebelum ini.
“Setiap yang terjadi, Allah memang nak terterakan di depan mata bahawa penyelasan seorang manusia tidak boleh diukur dengan janji mulut.
“Berlagak seperti mangsa malah merasakan semua yang dilakukan selama ini tidak pernah salah tetapi ingatlah Tuhan Maha Mengetahui setiap satu perkara walau hanya dedaun yang luruh dari dahan pokok,” ujarnya.
Menerusi hantaran berbeza, Shuhada turut menyifatkan wanita ketiga dalam hubungan mereka sebagai tiada harga diri.
“Mungkin dia tiada harga diri? Jangan tanya saya tetapi soal dia.
“Kali ini saya nak berhabis-habisan. Cukuplah saya menjadi manusia yang bersangka baik dengan mereka sebab separuh mati sudah kena,” jelasnya.
Difahamkan perkara tersebut diluahkan Shuhada selepas dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga iaitu mendakwa suaminya telah memukul mukanya sehingga mengalami kecederaan.
Semalam, pihak polis mengesahkan menerima laporan seorang isteri pelakon tanah air mendakwa dirinya dipukul oleh suami.
Susulan daripada laporan tersebut, Shuhada seterusnya berkongsi fotonya yang cedera dalam media sosial dan dikatakan terpaksa menerima rawatan di hospital kerana luka yang dialaminya.
Kemelut rumah tangga pasangan berkenaan mula tercetus apabila Shuhada mendedahkan rumah tangganya goyah kerana faktor orang ketiga.
Kemuncak kemelut rumah tangga mereka ialah apabila Hafidz dikatakan sudah menceraikan isterinya dengan talak satu menerusi panggila telefon bersaksikan ahli keluarga.
Shuhada juga mengesahkan sudah mendaftar perceraian mereka di Mahkamah Syariah Shah Alam pada Isnin lalu.
Sekadar info, Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 2. – KOSMO! ONLINE.