fbpx

Banjir Johor: 42 kampung dan taman perumahan di Kluang ditenggelami air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bahrin beramah mesra dengan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SJKC Ping Ming, Kluang malam ini.

KLUANG – Sebanyak 42 buah kampung dan taman perumahan dalam daerah Kluang ditenggelami air selepas kejadian banjir berlaku sejak malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,611 mangsa daripada 1,003 keluarga dipindahkan ke 22 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mula dibuka lewat petang semalam.

Katanya, tiga jalan utama dari Kluang ke Kahang turut ditutup untuk laluan kenderaan iaitu di Kampung Control, Kahang, Kampung Orang Asli Sri Tanjung Batu 18 dan Batu 9 hingga Batu 17 berhampiran Kilang Kelapa Sawit Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ).

“Kejadian banjir kali ini juga sudah meragut nyawa seorang lelaki berusia lingkungan 20 tahun selepas kereta dinaiki dihanyutkan air deras dalam kejadian di Jalan Kluang – Paloh berhampiran Kampung GSA di Chamek kira-kira pukul 7.20 pagi tadi.

“Dalam pada itu, seramai kira-kira 600 anggota serta kakitangan pelbagai agensi terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
dan Pasukan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA) digerakkan untuk tugas menyelamat serta menguruskan mangsa banjir,” katanya pada sidang media di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ping Ming dekat sini malam ini.

Bahrin turut mengingatkan kepada orang ramai agar perihatin terhadap setiap arahan atau amaran daripada pihak berkuasa khususnya perkara berkaitan keselamatan seperti meredah air banjir yang melintasi jalan.

Ujarnya, penduduk kampung dan taman perumahab turut dinasihatkan untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pasukan penyelamat dan jangan bimbang terhadap kediaman yang ditinggalkan.

“Pentingkan nyawa terlebih dahulu kerana semua kediaman yang terjejas akibat banjir akan sentiasa dipantau oleh pasukan polis melalui rondaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI