KUALA NERANG – Sebanyak 181 rumah di Felda Lubuk Merbau dan tiga lagi kampung dekat sini dilaporkan terjejas akibat ribut pada kelmarin.
Tiga kampung tersebut ialah Kampung Baru Tapang, Kampung Dusun dan Kampung Berjaya.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Bukhori Mat Sidik berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Badminton Felda Lubuk Merbau bagi menempatkan mangsa terjejas.
“PPS tersebut dibuka pada pukul 4 petang semalam dan tidak semua mangsa berpindah ke pusat pemindahan tersebut, ” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, seorang penduduk dilaporkan mengalami kecederaan patah tangan dalam kejadian itu.
Kosmo! semalam melaporkan sebanyak 143 rumah dilaporkan terjejas akibat kejadian ribut di Felda Lubuk Merbau.
Insiden tersebut turut mencemaskan seorang peniaga apabila sebahagian gerai makannya runtuh dan menimpa dua pelanggan. – KOSMO! ONLINE













