fbpx

Perak mahu tanam 2.5 juta pokok tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (tengah) bergambar selepas merasmikan Sistem Amaran Awal Kepala Air dan Kick-Off Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman Pokok 100 Juta Bagi Tahun 2023 Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Kerajaan negeri Perak mahu menanam kira-kira 2.5 juta pokok tahun ini iaitu melebihi sasaran dua juta pokok setahun sebagaimana yang disasarkan sebelum ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri sebelum meletakkan sasaran untuk menanam sebanyak 10 juta pokok atau dua juta pokok setahun di seluruh negeri.

Katanya, tempoh pelaksanaan bagi program penghijauan tersebut adalah selama lima tahun bermula 2021.

“Alhamdulillah pada tahun 2021, kita telah mencapai sasaran menanam 2.17 juta pokok dengan keluasan 5,568.01 hektar, manakala jumlah penanaman pada tahun lalu ialah 2.33 juta pokok dengan keluasan 6,152 hektar di seluruh negeri.

“Kita harap dapat melepasi sasaran tersebut iaitu kira-kira 2.5 juta pokok pada tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di Taman Eko Rimba Kledang Saiong sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perasmian Sistem Amaran Awal Kepala Air (EWS) dan Kick-Off Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bagi Tahun 2023 di sini.

Dalam pada itu, Saarani berkata, sistem EWS yang dibangunkan dengan peruntukan RM800,000 dari Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bermatlamat untuk menjadikan taman eko rimba sebagai sebuah destinasi ekopelancongan yang selamat, selesa dan kondusif.

Sistem ini telah siap dibina di dua taman eko rimba di Perak iaitu di Taman Eko Rimba Kledang Saiong dan Taman Eko Rimba Lata Iskandar.

“Kemudahan ini secara tidak langsung akan menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa ke kawasan Taman Eko Rimba tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI