fbpx

Azizulhasni gembira kembali ke puncak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI (kiri) ceria menunjukkan pingat perak yang dimenanginya dalam acara keirin pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Jakarta, Indonesia malam kelmarin.

KURANG setahun selepas me­lakukan pembedahan jantung, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang membuktikan dia seorang jagoan terbilang selepas merangkul pingat perak pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Jakarta, Indonesia malam kelmarin.

Turun beraksi di pentas final dalam acara kegemaran, keirin, pelumba yang mesra disapa Jijoe itu berpuas hati dengan kedudukan kedua apabila hanya dibezakan 0.0024 saat (s) dengan pemenang, Harrie Lavreysen.

Azizulhasni berkata, dia berdepan aksi cukup sukar sepanjang saingan yang berlangsung di Velodrom Antarabangsa Jakarta itu, namun semangat cintakan tanah air mengatasi segala-galanya bagi memastikan dia mencipta kejayaan tersebut.

“Hari yang penuh dengan liku dan cabaran dalam menghadapi perlumbaan keirin pada Piala Negara-Negara 2023 di Jakarta. Saya perlu mengharungi enam perlumbaan yang sangat mencabar sebelum dapat berdiri di atas podium.

“Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana masih memberikan kudrat buat diri saya untuk berjuang demi negara tercinta. Saya fikir karier akan berakhir selepas menjalani pembedahan jantung,” katanya.

Keputusan tersebut pastinya menjadi tonik terbaik buat pelumba berusia 35 tahun itu dalam misi melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan.

Justeru, Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman berharap pingat perak yang diraih menjadi permulaan terbaik bagi memastikan dia mendapat momentum terbaik menjelang kejohanan seterusnya.

“Berkat keazaman, percaya diri, kerja keras, disiplin, kedegilan dan sokongan ahli keluarga, saya mampu kembali ke puncak dunia. saya harap ini permulaan baik untuk tahun ini dan saya dapat terus meningkatkan momentum menjelang kejohanan akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley memaklumkan seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak me­ngalami kecederaan serius selepas terlibat kemalangan dalam aksi final keirin tersebut.

“Kecederaan Shah tidak teruk, cuma mengalami luka dan rasa sakit selepas kemalangan tersebut. Kepalanya masih pening dan belum sembuh sepenuhnya, jadi kami tidak benarkan dia untuk beraksi dalam acara pecut hari ini (semalam),” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI