PETALING JAYA – Nikah koboi atau lebih dikenali sebagai nikah ekspres dan nikah siri menjadi pilihan dalam kalangan warga asing terutama mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah atau berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI).
Selain prosesnya yang cepat, nikah koboi turut dilakukan secara tertutup serta tidak memerlukan kos tinggi.
Lebih memudahkan apabila majlis pernikahan sekadar dilakukan di rumah kongsi atau rumah sewa.
Berdasarkan tinjauan Kosmo!, nikah koboi sangat popular dalam kalangan warga Indonesia yang tinggal di negara ini termasuk mereka yang ingin berkahwin dengan lelaki Malaysia.
Seorang warga Aceh dikenali Herman, 52, berkata, nikah koboi atau popular dipanggil nikah siri dianggap sah dengan syarat asas perkahwinan iaitu pengantin, saksi dan wali.
“Modal tak banyak hanya buat jamuan kecil-kecilan untuk jemputan dan kenalan rapat. Di Lembah Klang, boleh dikatakan semua daerah yang ada warga kami mesti ada imam untuk menjadi kadi majlis nikah ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, warga tempatan yang ingin berkahwin dengan wanita Indonesia untuk dijadikan isteri kedua dan ketiga juga ramai memilih nikah siri kerana tidak memerlukan kebenaran daripada bini tua.
Bagaimanapun, katanya, terdapat pelbagai masalah timbul terutamanya berkenaan pendaftaran kerana tiada sebarang dokumen dikeluarkan pihak kadi untuk nikah siri berkenaan.
“Ramai anak-anak terutamanya bagi pasangan nikah siri ini tidak bersekolah kerana tiada dokumen seperti surat beranak berikutan ibu bapa juga tiada dokumen pendaftaran nikah.
“Paling membahayakan dan pernah berlaku di Klang tahun lalu apabila seorang lelaki berkahwin dengan anak sendiri selepas tidak mengenali anak daripada perkahwinan terdahulunya,” jelasnya.

Malah, katanya, ada seorang yang pernah berkahwin sehingga enam kali tanpa ada status cerai.
Selain itu, terdapat juga wanita yang telah berkahwin di Indonesia dan tidak pernah bercerai tetapi bernikah dengan lelaki lain di sini.
“Nikah siri tidak perlu dokumen pengesahan, kadi hanya inginkan syarat wajib sahaja. Jadi nikah ramai pun tiada masalah,” ujarnya.
Berita berkaitan: Warga asing guna sindiket nikah ekspres bayar RM450
Sementara itu, di Sungai Petani, Kedah, seorang kontraktor yang enggan dikenali berkata, nikah koboi sememangnya menjadi amalan pekerja asing yang menetap di daerah Kuala Muda tetapi tidak melibatkan warga Malaysia.
“Saya mempunyai ramai pekerja lelaki dan wanita Indonesia serta mengenali ramai rakan mereka yang masuk secara haram ke negara ini.
“Kebiasaannya pasangan tanpa dokumen perjalanan sah ini memilih untuk nikah koboi bagi memudahkan mereka tinggal bersama,” jelasnya.
Menurutnya, prosesnya amat mudah iaitu boleh dilakukan di rumah kongsi atau rumah sewa selain wali dan saksi juga terdiri daripada kenalan rapat yang agak kuat pegangan agamanya.
“Mahar dan upah nikah juga tidak terlalu tinggi iaitu dianggarkan RM1,000 dan ke bawah. Biasanya majlis ini berlangsung tanpa mengira waktu,” ujarnya.
Katanya, dia dimaklumkan nikah koboi itu sememangnya dipraktikkan di negara asal mereka terutamanya bagi penduduk yang tinggal jauh di pedalaman dan meneruskan tradisi itu kerana ia dianggap sah.
“Salah satu sebab kenapa nikah koboi ini masih diteruskan kerana warga asing ini tidak memenuhi syarat perkahwinan yang dikehendaki oleh pihak berkuasa agama daerah kerana berstatus PATI,” ujarnya.
Katanya, kebanyakkan pasangan didapati agak berumur dan bukan pasangan muda.
“Kebanyakan pasangan ini telah pernah berkahwin atau masih mempunyai pasangan di negara mereka tetapi disebabkan ghairah menghalalkan hubungan, mereka tetap meneruskan nikah yang dijalankan secara koboi ini.
“Begitu juga pemerhatian yang dibuat terhadap pasangan ini kerana didapati kebanyakkan mereka tidak lagi tinggal sebumbung selepas masing-masing berpindah kerja di tempat lain,” katanya.















