fbpx
FASHA SANDHA

Fasha Sandha masih kemaruk ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KREDIBILITI jelitawan berbakat besar dalam bidang lakonan itu tidak perlu disangkal lagi.

Ketika namanya mula ‘menggunung’ menerusi naskhah Natasha sekitar 2005, pemilik nama pentas Fasha Sandha mudah menjadi sebutan, termasuk pengarah yang mendambakan wajahnya menghiasi televisyen.

Naskhah yang memerlukan komitmen air mata cukup mudah digalas wanita berusia 38 tahun itu, sekali gus menghanyutkan emosi penonton untuk larut dalam penceritaan.

Sudah lama diyakini sehingga merangkul beberapa pengiktirafan, Fasha bagaimanapun tetap menunduk ke bumi. Dia masih beranggapan dirinya kontang ilmu di dada.

Jika pelakon profesional lain tidak perlu lagi menghadiri kelas lakonan, namun tidak bagi Fasha.

Berilah 10 trofi pelakon terbaik sekali pun, dia tetap akan mengikuti kelas lakonan untuk memperbaiki mutu lakonannya.

FASHA sangat bersyukur dan gembira apabila dapat mengerjakan ibadah umrah buat kali pertama bersama suaminya baru-baru ini.

Kelas lakonan

Fasha tidak berkira untuk mengeluarkan bajet mengikuti kelas lakonan. Akuinya, dia pasti akan berguru dengan pelakon veteran handalan, Fauziah Nawi setiap kali diberikan projek baharu.

“Setiap kali ada projek drama baharu, saya akan mengikuti kelas lakonan bersama pelakon Fauziah Nawi.

“Saya tidak kisah untuk keluarkan bajet mengikuti kelas bersama ibu (panggilan untuk Fauziah) bagi memperbaiki lakonan.

“Boleh dikatakan, hampir semua drama saya sebelum ini, saya akan mengikuti kelas bersamanya, termasuklah drama komedi sekali pun,” jelas Fasha.

Tambah isteri kepada Aidil Aziz itu, dia memilih untuk berguru dengan Fauziah Nawi kerana sudah mengenali figura itu sejak berusia 18 tahun lagi.

“Saya pilih ibu kerana dia sudah mengenali saya sejak berusia 18 tahun. Jadi dia tahu di mana kelemahan saya.

“Kadangkala kita tidak sedar watak yang dibawakan sama sahaja.

“Jadi saya perlukan seseorang untuk menegur kekurangan dan kelemahan saya,” ujarnya.

Hampir 20 tahun bergelar pelakon, Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan mengakui, bukan mudah sebenarnya untuk menjadi seorang anak seni.

UNTUK tahun 2023, Fasha merancang menambah bilangan ahli keluarga dan berharap dikurniakan seorang lagi anak lelaki seperti yang diharapkan suaminya, Aidil.

‘Body shaming’

Setiap apa yang dilakukan pasti menjadi perhatian netizen. Fasha bahkan mengakui perlu menjaga kata-kata dan tingkah laku kerana takut dimanipulasikan sehingga mencetuskan kontroversi yang tidak enak.

Biarpun dikurniakan pakej lengkap, bakat dan rupa paras jelita, namun Fasha tetap tidak terlepas daripada menjadi buah mulut netizen apabila pernah menjadi mangsa dipersenda masyarakat gara-gara perubahan bentuk badannya yang semakin berisi.

Mengakui sedih apabila bentuk badan dijenakakan, Fasha berkata situasi sebegitu benar-benar meninggalkan kesan buat dirinya.

“Fizikal saya pernah dipersenda sedikit masa lalu sehingga meninggalkan kesan pada diri.

“Saya akui memang rasa malu dengan kecaman yang dilontarkan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Fasha menukar kesedihan itu dengan menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk menurunkan berat badan.

“Ketika itu saya nampak bulat (berisi). Mungkin sebab saya kuat makan. Apabila bentuk badan saya dipersenda sehingga dikatakan sedang hamil, memang saya sangat sedih.

“Tapi apa yang saya lalui itu juga menjadi penguat semangat untuk saya cabar diri turunkan berat badan.

“Malah demi drama baharu, saya bersedia untuk kurangkan lagi berat badan.

“Saya bersenam gila-gila dan jaga pemakanan untuk kurus,” katanya.

SELAIN berdepan banyak babak mencabar, watak Nadia dalam drama terbaharunya, Serpihan Sayang menuntut Fasha bertukar emosi sehingga mengundang tekanan akibat kepenatan.

Wanita meroyan

Keinginan bagaimanapun memerlukan kekuatan semangat. Fasha akui agak susah untuk menurunkan berat badan kerana genetik keluarga yang sememangnya berbadan besar.

“Memang susah sebab genetik saya memang berbadan besar. Mental kena kuat. Tapi saya bersyukur kerana suami sangat menyokong dan tidak kisah sama ada saya kurus atau gemuk.

“Tapi saya memang mahu turunkan berat sebab selain untuk berlakon, saya kena fikir soal kesihatan,” katanya.

Berkongsi sedikit tentang drama terbaharunya berjudul Serpihan Sayang, kali ini Fasha membawakan watak sebagai Nadia yang mengalami masalah ‘meroyan’ selepas mengalami keguguran.

Menganggap watak berkenaan sangat berat, Fasha berkata cabaran yang perlu dilalui adalah untuk menukar mood antara gembira dan sedih dalam sekelip mata.

“Watak Nadia sekejap gembira, sekejap bersedih. Jadi saya harus pandai tukar mood dengan tiba-tiba.

“Jujurnya, watak ini sangat mencabar dan memenatkan. Saya pula perlu mengikut kehendak pengarah, Amor Rizan.

“Apa yang dibayangkan ketika sesi bacaan skrip berbeza di lokasi penggambaran. Namun, saya yakin dengan hasil kerja Amor kerana sangat kreatif dan ini menjadi makanannya,” jelas Fasha.

IBU kepada tiga orang cahaya mata ini sanggup berhabis duit mengikuti kelas lakonan walaupun sudah hampir 20 tahun terbabit dalam dunia seni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN