fbpx

Lelaki Bangladesh didakwa palsu dokumen perbaharui pasport

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (tengah) ketika diiringi pegawai polis ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Seorang pengurup wang warga Bangladesh mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas dakwaan memalsukan dokumen untuk memperbaharui pasport minggu lalu.

Tertuduh, Kazi Monir, 35, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan 10 dokumen dengan niat supaya dokumen palsu itu dapat digunakan bagi tujuan menipu.

Antara dokumen tersebut termasuk satu laporan polis Seberang Jaya, resit, invois cukai dan invois MyEG Services Berhad (MyEG) serta resit rasmi Jabatan Imigresen.

Kesalahan itu dilakukannya di sebuah premis di Lorong Usahaniaga 1, Taman Usahaniaga, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah kira-kira jam 7.30 malam pada 8 Februari lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih daripada tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari manakala tertuduh diwakili peguam, V. Pushpa.

Terdahulu, ketika prosiding berlangsung, Nor Shakila meminta agar mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana menyifatkan kesalahan memalsukan dokumen itu sebagai serius.

Bagaimanapun, Pushpa merayu agar anak guamnya diberikan jaminan dengan beberapa alasan termasuk telah tinggal di negara sejak 16 tahun yang lalu selain perlu menanggung kedua ibu bapanya yang berada di Bangladesh.

Jelas Pushpa, isteri tertuduh yang juga berada di sana baru sahaja melahirkan cahaya mata sulung mereka semalam dan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh buat masa ini.

Selepas meneliti hujah daripada kedua-dua pihak, Mohd. Harith kemudian memutuskan untuk membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan.

Pada masa sama, beliau turut mengarahkan agar tertuduh menyerahkan pasport yang dimilikinya kepada mahkamah serta melaporkan diri sebanyak dua minggu sekali di balai polis berhampiran kediamannya sehingga kes itu selesai. Kes dijangka disebut semula pada 22 Mac depan untuk tujuan serahan dokumen berkaitan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI