fbpx

MISC rekod hasil RM13.8 bilion tahun kewangan 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Segmen petroleum, penghantaran produk dan luar pesisir serta aset gas & penyelesaian menyumbang kepada peningkatan hasil MISC. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Penyedia perkhidmatan dan penyelesaian maritim, MISC Berhad (MISC) merekodkan hasil berjumlah RM13.86 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, iaitu 29.9 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Ia berikutan sumbangan hasil lebih tinggi daripada semua segmen perniagaannya, termasuk segmen petroleum, penghantaran produk dan luar pesisir serta aset gas & penyelesaian.

Kumpulan turut merekodkan keuntungan operasi 59.2 peratus lebih tinggi berjumlah RM3.1 bilion, manakala untung sebelum cukai pula berjumlah RM1.87 bilion, berbanding RM1.77 bilion yang direkodkan pada tahun 2021.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rajalingam Subramaniam berkata, pihaknya menyampaikan prestasi kewangan positif untuk suku tahun keempat berakhir 31 Disember 2022, didorong oleh daya tahan perniagaan di seluruh Kumpulan.

“Kami sebagai satu pasukan akan kekal fokus dan komited untuk meneroka prospek baharu, perkongsian sinergistik dan penyelesaian inovatif.

“Penghargaan ikhlas kami kepada semua pihak berkepentingan dan rakan kongsi kerana mengiktiraf komitmen teguh MISC untuk memacu kecemerlangan secara konsisten dengan cara yang mampan di seluruh Kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menuju ke hadapan, MISC berkata, tinjauan bagi sektor minyak dan gas huluan kekal berpotensi baik memandangkan harga minyak yang tinggi, perbelanjaan modal yang meningkat dan permintaan minyak global yang bertambah baik dengan China telah membuka semula pasarannya

Jelasnya, permintaan FPSO (apungan, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan) dijangka terus berkembang dengan peningkatan dalam projek yang dirancang dalam tempoh beberapa tahun akan datang terutamanya dari rantau Amerika Selatan dengan Brazil menerajui sebahagian besar pertumbuhan pasaran, diikuti Afrika Barat.

“Segmen perniagaan luar pesisir akan terus mengejar peluang baharu dalam pasaran secara terpilih dan buat masa ini, segmen ini akan kekal fokus dalam pelaksanaan projek semasa sambil menjalankan usaha mitigasi untuk meminimumkan tekanan kos dan jadual.

“Dalam pada itu, portfolio kontrak jangka panjang sedia ada akan terus menyokong prestasi kewangan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI