fbpx
FAIZAL HUSSEIN

Cara Faizal Hussein ‘lindungi’ diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIADA istilah skandal ataupun kekasih gelap di lokasi penggambaran. Itu prinsip yang dipegang Faizal Hussein sepanjang berkubang dalam gelanggang seni sejak empat dekad lalu.

Bukan sombong, namun anak seniman legenda, Allahyarham Hussein Abu Hassan itu juga meletakkan batasan antara dirinya dengan pelakon lain di set penggambaran tanpa mengira usia.

Menyingkap rekod bersih kontroversi hero Bunohan itu, sengaja kisah cinta terlarang dan hubungan sulit dilayangkan sebagai basa-basi dalam pertemuan.

Tenang tanpa banyak lencongan, lelaki berusia 55 tahun itu menguntum senyuman memulakan cerita. Faizal tidak menolak, namun menjawabnya secara profesional tanpa perlu mengaibkan individu lain.

Katanya, sepanjang bertapak sebagai pelakon, dia hanya dalam dunia sendiri ketika berada di set penggambaran.

Bukan meninggi diri tetapi itulah caranya untuk fokus dalam karakter, sekali gus mengelak daripada ‘tangkap cinta’ dengan pelakon lain.

AKTOR tinggi lampai ini menegaskan seorang lelaki tidak seharusnya melayan wanita lain sekiranya sedar status suami yang dipegang, sekali gus mengelak daripada terjebak dalam hubungan yang tidak sepatutnya.

Menyusun kemas setiap jawapan, Faizal memberitahu, jatuh cinta dengan pasangan gandingan sememangnya tidak menjadi realiti buat dirinya.

“Perkara tersebut memang tak akan menjadi masalah untuk saya sebab apabila bekerja, memang tidak akan lepak di lokasi penggambaran.

“Saya hanya habiskan masa dalam kereta dan menelaah skrip bahagian sendiri sambil ditemani dengan walkie talkie dibekalkan pihak produksi,” katanya kepada Pose baru-baru ini.

Bukan tidak sudi bergaul dengan rakan sekerja, Faizal hanya mahu memastikan emosinya tidak terganggu dengan perkara yang boleh merosakkan mutu lakonannya.

“Disiplin itu dipraktikkan sekiranya jarak masa babak saya sangat singkat. Jika mengambil masa empat hingga lima jam, saya tetap bersosial bersama kru lain cuma masih menjaga batas.

“Semua usaha itu memastikan saya berlakon hanya dengan satu ‘take’. Itu cara saya bekerja sejak dahulu, saya pelakon satu ‘take’.

“Jika ada terlebih ‘take’, mungkin kerana masalah teknikal lain,” ujarnya.

Panggilan adik

Menyedari statusnya sebagai seorang suami, Faizal juga meletakkan tembok penghalang dengan panggilan yang diberikan kepada semua individu termasuk pelakon wanita di sekeliling.

Caranya adalah menggelar pelakon lain dengan panggilan ‘adik’ berbanding gelaran mesra lain seperti awak, saya, i atau you.

“Realitinya ada sahaja pelakon baharu yang cuba pikat saya tetapi dengan cara budak-budak zaman sekarang.

“Namun, awal-awal saya letakkan penghalang dengan memanggil mereka sebagai adik. Dia berstatus datin pun, saya panggil adik.

“Apabila saya ‘adikkan’ mereka, jadi faham-faham sahajalah,” tutur bintang filem Gila-Gila Remaja itu.

Tambahnya, perbualan dengan pelakon lain juga sangat terhad sepanjang di lokasi penggambaran.

TIDAK pernah meletakkan sasaran untuk memegang sebarang watak impian, Faizal hanya menerima karakter yang dilihat boleh mencabar kemampuannya sebagai pelakon.

“Selepas habis adegan bersama, saya masuk semula ke dalam kereta menelaah skrip babak lain.

“Jadi, itu mungkin cara saya untuk menjaga kualiti kerja dan secara automatik batas pergaulan terjaga.

“Senang cerita, buat apa mahu ‘melayan’ wanita lain sekiranya sedar sudah berstatus suami orang. Nasi di set penggambaran pun saya cedok sendiri,” jelas bapa kepada dua cahaya mata itu.

Tiada niat merosakkan hubungan dengan pelakon lain, suami kepada Suhaila Sulaiman, juga pernah bergelar pelakon itu sebenarnya enggan terpalit sebarang kontroversi yang boleh merosakkan karier.

“Saya sudah dididik dengan cara sebegini. Bagi saya, seorang pelakon tidak boleh bertahan lama sekiranya terlalu banyak kontroversi.

“Tidak kiralah terpalit gosip baik mahupun buruk, semua itu tetap kontroversi yang boleh menjejaskan reputasi sebagai seorang anak seni,” ungkap pelakon yang membina karier sejak era awal 1980-an itu.

Berbicara mengenai kerjaya, Faizal dilihat antara pelakon senior yang tidak putus-putus menerima tawaran lakonan.

Hebatnya, setiap naskhah lakonannya bukan calang-calang. Terbaharu, dia bakal muncul menerusi sebuah filem arahan Mior Hashim Manap berjudul Imam.

Imam

Paling mengujakan, Faizal berpeluang bergandingan kembali dengan Datuk M. Nasir yang merupakan watak utama filem tersebut.

“Jalan cerita Imam sangat mudah difahami dan dekat dengan masyarakat hari ini seperti penyelewengan duit masjid dan dengki sesama manusia.

“Saya memang seronok dapat kembali bekerja dengan M. Nasir yang menjadi hero dalam Imam. Lama kami tidak bekerjasama dan harap filem ini diterima ramai,” ujarnya lagi.

FAIZAL mengakui mempunyai sebuah kenderaan yang diubah suai mengikut keselesaan dan kesesuaian kerjanya sebagai pelakon.

Sebagai antara hero Malaya terhebat, keampuhan lakonan Faizal tidak perlu disangkal lagi, campaklah apa sahaja watak pasti akan dilunaskannya dengan cemerlang.

Dalam Imam, dia berdiri sebagai Haji Syamsuri, satu karakter antagonis yang belum pernah dijayakan selama ini.

“Bukan tentang penunggang agama sangat pun tetapi lebih ke arah konflik merebut jawatan. Watak jahat sebagai orang agamawan tak pernah lagi saya bawa.

“Sebelum ini asyik jadi gangster atau suami panas baran,” katanya yang pernah memenangi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 menerusi filem Bunohan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN