fbpx

Cekal jaga anak OKU lembam yang agresif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUSLAN (kanan) dan isterinya, Sakiah (kiri) perlu sentiasa memantau pergerakan Nor Sollehah (dua dari kiri) di rumah mereka di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke, Gua Musang baru-baru ini.

GUA MUSANG – Sepasang suami isteri Orang Asli di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke di sini, cekal menjaga anak pe­rempuannya yang juga orang kelainan upaya (OKU) lembam yang kini sudah dewasa.

Nor Sollehah Muslan, 32, didiagnos sebagai OKU kategori lembam sejak dilahirkan, kini menunjukkan perubahan ketara apabila sering memberontak sehingga sukar untuk dikawal bapa, Muslan Alang, 68, dan ibu tirinya, Sakiah Alang, 35.

Muslan berkata, perangai dan tingkah laku anak kedua daripada lima beradik itu semakin agresif apabila dia semakin dewasa apabila sering melakukan perkara di luar jangkaan.

“Nor Sollehah pernah curi-curi keluar dari rumah seorang diri dan berjalan kaki lebih 15 kilometer ke Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang beberapa tahun lalu.

“Nasib baik kami apabila dapat menjumpainya semula selepas melihatnya berjalan kaki di kawasan tanah tinggi itu. Saya dan seluruh keluarga sudah tidak tentu arah apabila dia tiba-tiba hilang” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di sini baru-baru ini.

Muslan berkata, dia terpaksa meminta bantuan isterinya untuk mengawal pergerakan anak­nya ketika keluar menoreh getah.

Menurutnya, dia risau memikirkan masa depan Nor ­Sollehah kerana dia sudah semakin dewasa, namun masih berperwatakan seperti kanak-kanak.

“Saya juga sudah semakin berusia dan tidak mampu untuk menjaga Nor Sollehah. Nasib baik isteri saya ada untuk memantau pergerakannya.

“Setakat ini, Nor Sollehah tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak meskipun berstatus OKU. Saya harap ada bantuan terutamanya sumbangan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membeli keperluannya,” katanya.

Sementara itu, Sakiah berkata, dia berharap ada pihak sudi membantu keluarganya terutamanya dalam aspek menguruskan Nor Sollehah.

Katanya, selain mengajar kelas agama, pendapatan suaminya hanya bergantung kepada kerja menoreh getah.

“Harga getah ketika ini juga rendah iaitu kira-kira RM2.50 sekilogram. Pendapatan itu ­hanya cukup untuk makan minum kami sekeluarga. Kami tidak mampu untuk ber­belanja lebih membeli pakaian dan keperluan Nor Sollehah,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Muslan di talian 017-568 3908 atau akaun Bank Simpanan Nasional miliknya, 08237-41-00001206-7.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI