fbpx

Northport terima 9 kren RTG baharu daripada Mitsui E&S

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (tengah, berdiri) pada majlis penyerahan RTG dan eRTG di Northport baru-baru ini.

PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Bhd (Northport) telah menerima sembilan buah kren Rubber Tyred Gantry (RTG) baharu yang dibelinya daripada Mitsui E&S Machinery Co., Ltd. (Mitsui E&S).

Ia adalah  kumpulan peralatan terminal baharu daripada sejumlah 23 buah RTG berkuasa diesel dan 11 buah elektrik RTG (eRTG).

Ketika ini, Northport beroperasi dengan sejumlah 84 buah kren RTG yang mana daripada jumlah tersebut, sebanyak  71 buah RTG berkuasa diesel dan 13 buah e-RTG

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, pemerolehan RTG baharu ini akan meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti operasi sedia ada syarikati serta memenuhi komitmen untuk terus memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggannya. 

“Penyerahan kren RTG baharu ini adalah satu langkah ke hadapan bagi Northport untuk menjadi pelabuhan yang lebih selamat, lebih hijau, lebih pintar dan lebih baik”, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Majlis penyerahan RTG telah dihadiri  oleh Setiausaha Pertama Kedutaan Jepun di Malaysia, Saito Hiroaki dan Pengurus Besar, Bahagian Kren & Sistem Mitsui E&S, Atsufumi Takahashi.

Azman menerangkan, pelabuhan sering mengalami kesesakan pada awal tahun 2021 dan 2022 serta jangkaan kendalian yang tinggi secara konsisten untuk pengendalian kargo kontena dan konvensional di Northport pada masa depan.

Sehubungan itu, pihaknya telah mengorak langkah untuk mengkonfigurasi dan menyusun semula terminal sedia ada  untuk meningkatkan kapasiti pelabuhan Northport.

“Pelan konfigurasi semula terminal melibatkan penukaran dan pembangunan lapangan kontena serta pemerolehan peralatan pelabuhan baharu.

“Langkah tersebut adalah perlu kerana kami telah mengendalikan jumlah kargo kontena yang tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kami menjangkakan aliran peningkatan ini akan berterusan pada tahun-tahun akan datang,” jelas Azman.

 Northport telah mencatatkan pencapaian pecah rekod secara berturut-turut dalam tempoh dua tahun yang lalu. 

Pada tahun 2021, Northport telah mencapai prestasi yang mengagumkan untuk segmen perniagaan kontenanya selepas berjaya mengendalikan sejumlah 3,324,364 TEU, iaitu jumlah kendalian kontena tahunan tertinggi pernah dicatatkan oleh syarikat. 

Pada tahun lepas, Northport telah merekodkan 11,115,670 Freight Weight Tonnes (FWT) kendalian kargo, iaitu pencapaian tahunan tertinggi untuk pengendalian kargo konvensional sejak  pembentukan Northport melalui penggabungan Klang Container Terminal (KCT) dan Klang Port Management (KPM) pada tahun 2000.

Selain itu, selaras dengan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Northport akan meningkatkan jumlah peralatan pelabuhan mesra alam melalui pembelian 11 buah kren eRTG untuk lapangan kontena baharunya yang dikenali sebagai Blok J.

Northport merupakan pelabuhan pertama di Malaysia yang menggunakan eRTG pada tahun 2013.  -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI