fbpx

Komando lemas, mungkin hanyut ke perairan Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Christopher ketika ditemui pemberita bagi perkembangan operasi SAR Lans Koperal Edrin di ICQS, Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Polis tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota Tentera Darat, Lans Koperal Edrin Daintin, 25, yang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, perkara itu bagaimanapun masih diperingkat perbincangan dan akan diputuskan mengikut keperluan semasa.

“Buat masa ini belum ada kerjasama dengan rakan dari negara jiran untuk mencari mangsa kerana kita menjangkakan dia masih berada dalam perairan negara.

“Tetapi besar kemungkinan mangsa akan sampai ke perairan jiran, jadi kita akan maklumkan kepada rakan (penguat kuasa)di sana terutamanya para nelayan,” katanya pada sidang akhbar di Terminal Feri Antarabangsa, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa telah dihanyutkan arus sehingga ke perairan Johor.

Semalam, Kosmo! melaporkan seorang anggota Tentera Darat dipercayai daripada Rejimen Gerak Khas (komando) dikhuatiri lemas ketika sedang menjalani latihan Eksesais Pari Harimau kursus juruselam.

Christopher berkata, setakat ini, pencarian yang memasuki hari kedua itu masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu mengenai keberadaan mangsa.

“Persatuan nelayan tempatan juga telah dimaklumkan untuk turut sama membantu mencari mangsa serta menyalurkan maklumat berkaitan kepada pos kawalan di Pulau Besar.

“Lokasi pencarian dibahagikan kepada tiga zon iaitu bawah air, perairan terbuka dan udara. Bagi zon bawah air, pasukan skuba ATM, APM dan Bomba telah digerakkan,” katanya.

Terdahulu, operasi SAR itu melibatkan seramai 14 pegawai dan 110 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI