DURASI selama tiga jam berlalu bagaikan tidak terasa. Penonton yang hadir umpama hanyut, masing-masing terbuai tanpa batasan usai saat 27 buah koleksi hit Melly Goeslaw menerbangkan emosi sepanjang persembahan.
Hebat dan mengagumkan adalah frasa yang tepat untuk menggambarkan perasaan penulis, mungkin seluruh penonton lain sewaktu menyaksikan konsert penyanyi dan komposer tersohor Indonesia itu, Ada Apa Dengan Melly? Live in Kuala Lumpur pada malam minggu lalu.
Jujur, konsert Melly yang berlangsung selama dua hari itu (Jumaat dan Sabtu) sedikit pun tidak mencetuskan rasa bosan sehingga perlu melirik pada jam tangan, berharap agar persembahan segera selesai.
Biarpun jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam, persembahan Melly yang masih berbaki lapan buah lagu diraikan penuh bermakna.

Suasana di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam itu juga layaknya seperti dihadiri lawatan oleh ‘pelajar sekolah’.
Rata-rata 2,800 penonton yang hadir ke konsert yang dinamakan ‘sekolah muzik Melly Goeslaw’ mengikut tema yang dianjurkan iaitu ‘back to school’ dengan memakai seragam sekolah.
Kata Melly, tema itu dipilih kerana mahu mengembalikan nostalgia kepada penggemar filem Ada Apa Dengan Cinta yang pernah menjadi kegilaan remaja dan pelajar sekolah sekitar tahun 2002.
Lagu terkenal
Tepat pukul 9 malam, kemunculan Melly dengan busana ekstravaganza membuatkan isi dewan menjadi riuh tatkala penyanyi berusia 49 tahun itu menyampaikan seleksi tiga buah lagu, Ingin Mencintai dan Dicintai, Tentang Dia dan Pujaanku.
Usai dendangan, sambil berbicara Melly sempat menukar pakaiannya di atas pentas dan menyuarakan rasa bimbang terhadap penonton.
“Dari tadi saya berdoa semoga apa yang saya katakan boleh difahami kerana bahasa kita sedikit berbeza, tetapi tidak mengapa kerana pada saya seni itu adalah sesuatu yang tidak mengenal apa pun.
“Seperti kalian menikmati muzik dari Korea (K-pop). Bahasanya tidak difahami, tetapi anda masih lagi menikmati,” ujarnya.

Memasuki segmen seterusnya, Melly tidak berlengah apabila menyampaikan deretan enam buah lagu tanpa henti, iaitu lagu-lagu hasil nukilannya yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi terkenal Indonesia.
Antara lagu-lagu yang disampaikan ialah Pecinta Wanita (Irwansyah) dan Berdua Lebih Baik (Irwansyah dan Acha Septriasa). Tidak ketinggalan, Ketika Cinta Bertasbih dan Ayat-Ayat Cinta nyanyian Datuk Rossa.
Pada malam pertama konsert, Rossa juga tidak melepaskan peluang apabila turut hadir sebagai tanda sokongan terhadap Melly.
Sokongan artis
Kehadiran beberapa selebriti terkenal Malaysia dan Indonesia seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nur Fazura, Fattah Amin, Misha Omar, Raffi Ahmad, Nagita Slavina dan Lis Dahlia turut mendapat sorakan dan teriakan hebat daripada penonton.
Apa yang menariknya tentang Melly, ibu kepada dua orang cahaya mata itu sebenarnya memiliki sisi humor apabila setiap ucapannya terselit lelucon yang membidik tawa di bibir penonton.
Suaminya, Anto Hoed yang turut mengiringi persembahannya sebagai pemain keyboard adalah individu yang sering menjadi mangsa usikan ‘nakal’ Melly.

Sebagai penghibur, Melly bijak dalam berinteraksi dan memancing rasa penonton agar tidak kebosanan sepanjang konsert selama tiga jam itu berlangsung.
Sesuai dengan statusnya sebagai komposer paling berjaya di Indonesia, Melly turut dikenali sebagai ‘The Queen of Soundtracks’ apabila menghasilkan lagu runut bunyi untuk filem-filem hebat Indonesia. Lebih dahsyat, lagu-lagu tersebut menjadi ikonik dan malar segar.
Dedikasi
Antara runut lagu nukilannya yang dinyanyikan adalah Cinta Sejati, nyanyian asal Bunga Citra Lestari untuk filem Habibie & Ainun.
Ketika konsert berlangsung, Melly turut berkongsi lagu yang membesarkan lagi namanya sehingga ke Malaysia iaitu Jika, sekali gus diterima baik oleh pendengar di negara ini.
Memasuki segmen tribute, Melly mengundang rasa sebak penonton sehingga dia sendiri menitiskan air mata sewaktu mendendangkan lagu Dimanakan Ku Cari Ganti mengenang pemergian dan jasa Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee.
Mengakui begitu mengagumi karya-karya P. Ramlee yang dianggap sebagai ‘harta’ tidak ternilai dan harus dihargai generasi hari ini.

“Almarhum P. Ramlee saya ibaratkan seperti magma kesenian Malaysia. Tanpa beliau, tiada idea seni pada hari ini.
“Saya amat berbesar hati dapat mengenang jasanya dalam bidang seni,” ujar Melly yang turut menyanyikan lagu Bunyi Gitar yang diberi nafas baharu.
Sebagai penamat konsert, Melly mengajak penonton sama-sama menari menerusi deretan lagu rancak ciptaannya seperti Ku Bahagia, Tak Tahan Lagi, Let’s Dance dan Hanya Memuji.
Sebelum menutup tirai yang sudah larut malam, pemilik nama sebenar Meliana Cessy Goeslaw itu sempat memanjatkan rasa syukur terhadap Allah SWT kerana menjadikan dirinya seperti hari ini.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Allah yang tidak pernah ‘cuti’ memberikan saya ilham.
“Alhamdulillah,” katanya sebelum meninggalkan pentas.















