fbpx

Sekolah pukul 8 pagi mulakan di satu sesi dahulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Pelaksanaan cadangan sesi persekolahan bermula pukul 8 pagi boleh dimulakan di sekolah satu sesi dahulu manakala bagi sekolah dua sesi dikekalkan seperti yang diamalkan sebelum ini.

Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian dan Kesejahteraan, Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Anuar Ahmad berkata, data menunjukkan dua pertiga sekolah di negara ini adalah satu sesi dan selebihnya masih sekolah dua sesi.

“Sekiranya berhasrat menjadikan sekolah dua sesi bermula pukul 8 pagi, usaha untuk mengurangkan silibus atau bilangan mata pelajaran juga boleh dilakukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) seperti yang dicadangkan oleh ramai pihak.

“Misalnya menggabungkan pendidikan Islam dengan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA). Tidak ada keperluan menambah masa sesi petang sehingga sesi sekolah petang tamat lebih lewat daripada sekarang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas maklum balas diterima daripada guru dan ibu bapa susulan cadangannya sebelum ini supaya KPM memulakan sesi persekolahan di Semenanjung bermula pukul 8 pagi.

Anuar menjelaskan sesi persekolahan pukul 8 pagi itu tidak akan merumitkan keadaan sama sekali dengan ibu bapa kekal meneruskan rutin harian mereka seperti biasa.

Ujarnya, cadangan ini memberikan lebih masa dan ruang untuk ibu bapa menguruskan persiapan anak-anak ke sekolah di awal pagi dengan lebih tenang.

“Guru-guru juga mempunyai lebih masa di awal pagi serta dapat membuat persiapan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik.

“Selain itu, guru juga kekal hadir ke sekolah sebelum pukul 7.30 pagi, mengikut waktu yang telah ditetapkan oleh KPM. Pintu pagar sekolah kekal dibuka seperti waktu sekarang. Tiada yang berubah,” ujarnya.

Menurut beliau, hampir semua sekolah sekolah antarabangsa di negara ini mengamalkan sistem sekolah bermula pukul 8 pagi selain sebahagian besar sekolah swasta dan sekolah persendirian.

Malah ada sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kerajaan Negeri yang telah lama mengamalkan sistem sekolah pukul 8 pagi.

“Ibu bapa boleh kekal hantar anak-anak ke sekolah seperti waktu sekarang. Sekolah kekal dibuka seperti biasa. Anjakan masa 30 minit memberikan kelapangan pada keluarga yang memerlukan lebih masa di awal pagi.

“Amalan di negara maju, waktu awal sekolah sebelum pembelajaran bermula adalah waktu ‘bertenang’ di mana murid-murid boleh melakukan banyak aktiviti seperti membuat persiapan pembelajaran, ulangkaji, membaca, berinteraksi dan bermain dengan rakan-rakan atau bersarapan,”jelasnya.

Mengulas lanjut, Anuar sekali lagi menegaskan faedah bermula pukul 8 pagi memberikan lebih masa berkualiti ibu bapa bersama anak-anak termasuk solat subuh berjemaah dan bersarapan pagi.

“Faedah kepada kanak-kanak pula, keselamatan diri adalah keutamaan. Jika sekolah bermula pukul 8, mereka tidak perlu berjalan bersendirian di dalam gelap awal pagi seperti sekarang.

“Amalan sekarang, ada anak-anak yang berjalan kaki ke sekolah atau menunggu bas sekolah seawal pukul 6 pagi. Selain itu, bagi anak-anak yang tiba lebih awal ke sekolah, mereka dapat membuat persiapan awal, mengulangkaji dan bermain dengan rakan-rakan. Mereka lebih bersedia sebelum pembelajaran bermula,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI