fbpx

KKM ambil berat luahan petugas kesihatan – Dr. Zaliha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha.

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melakukan langkah menyeluruh meliputi aspek dasar dan teknikal bagi menambah baik sistem kesihatan negara.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa menerusi ciapan di Twitter, berkata, ini kerana pihaknya memandang serius pandangan dan maklum balas oleh petugas kesihatan negara mengenai sistem semasa.

“KKM dalam proses merangka langkah-langkah untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan dengan mengambil pendekatan secara bersasar bagi melakukan reformasi sistem kesihatan.

“Isu-isu berbangkit seperti kebajikan, kesihatan fizikal dan mental petugas kesihatan, sistem sumber manusia, penetapan gaji yang saksama, jaminan pekerjaan serta isu-isu lain sentiasa menjadi keutamaan KKM memandangkan tiada penyelesaian mudah untuk isu-isu ini,” katanya.

Menurutnya, KKM akan melakukan pertemuan bersama Kementerian Kewangan bagi membentangkan perincian tentang keperluan untuk mendapatkan peruntukan lebih besar meliputi aspek infrastruktur, digitalisasi sistem dan sumber manusia.

“Justeru, kami komited untuk terus berganding bahu dengan kementerian serta agensi lain demi kebaikan dan manfaat pekerja sektor kesihatan dan masyarakat madani keseluruhannya.

“Semua perkara yang disebut juga merupakan sebahagian daripada pembaharuan dan keutamaan Kertas Putih Kesihatan yang mana ia akan dijadikan penanda aras kepada pelbagai reformasi sektor kesihatan pada masa akan datang,” jelasnya.

Isnin lalu, muka depan Kosmo! melaporkan industri perubatan dan kesihatan di Malaysia bakal berdepan dengan isu kekurangan kakitangan apabila ramai doktor muda memilih luar negara sebagai tempat mencari rezeki.

Bukan sahaja tiada hala tuju dan sistem kontrak yang tidak jelas, mereka juga mendakwa sukar untuk mengembangkan cita-cita sebagai pakar sepanjang berkhidmat di negara ini.

Selain itu menurut laporan itu, isu buli, bayaran tidak berbaloi dengan perkhidmatan, waktu kerja tidak rasional, sistem kontrak yang tidak jelas serta faktor tekanan emosi dan psikologi disebabkan persekitaran negatif, antara sebab lain yang menyumbang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI